ECRL rai 43 pengamal media Kelantan rasai pengalaman naiki tren EMU
-
16 November 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
36
KOTA BHARU, 16 November – Sekumpulan 43 pengamal media dari Kelantan diraikan menerusi Program Lawatan Pengenalan Media (FAM Trip Media) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman perjalanan percubaan menaiki tren Electric Multiple Unit (EMU) Ekspres dari Stesen ECRL Kota Bharu ke Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.
Program anjuran Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) itu memberi pendedahan secara langsung kepada pengamal media Kelantan mengenai keselesaan, kecekapan dan kemudahan perkhidmatan rel moden berkenaan menjelang pengoperasian komersialnya.
Sehubungan dengan itu, Pengarah Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad berkata, program tersebut membolehkan pengamal media memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan menyeluruh kepada masyarakat mengenai manfaat, kemudahan serta potensi ekonomi yang bakal dijana menerusi pembangunan jaringan rel strategik berkenaan.
"Kemudahan pengangkutan ini berpotensi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada pengangkutan jalan raya, khususnya ketika musim perayaan dan cuti umum yang sering menyaksikan kesesakan lalu lintas di laluan utama menuju ke Pantai Timur.
"Pelaksanaan projek berimpak tinggi ini juga memperlihatkan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan agenda pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dapat direalisasikan," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pendekatan diplomasi dan semangat federalisme yang diamalkan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud bersama pemimpin Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama pembangunan antara kedua-dua pihak.
Beliau juga mengakui, kewujudan alternatif perjalanan yang lebih terancang dan selesa amat bermakna kepada anak Kelantan di perantauan yang kerap berulang-alik antara negeri kelahiran dengan Lembah Klang.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Penerangan Zon) UPKN Hareetaran J. Raman pula menyifatkan pengalaman menaiki tren EMU Ekspres sebagai pendedahan bermakna terhadap transformasi sistem pengangkutan awam negara.
Beliau berkata, perkhidmatan ECRL berpotensi menawarkan pilihan perjalanan yang lebih praktikal kepada rakyat, khususnya mereka yang kerap berulang-alik antara Kelantan dengan Kuala Lumpur atas urusan pekerjaan, perniagaan dan kekeluargaan.
"Dengan adanya ECRL, hubungan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang dijangka menjadi lebih mudah, pantas dan selesa. Rakyat mempunyai lebih banyak pilihan untuk bekerja, berniaga, melancong mahupun pulang ke kampung halaman.
"Pada masa sama, pengangkutan kargo melalui jaringan rel ini berpotensi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan merancakkan aktiviti perdagangan antara negeri," jelasnya.
Mengulas pengalaman perjalanan percubaan KB-KL-KB hari ini, beliau berkata, tren EMU Ekspres yang direka untuk mencapai kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam menawarkan perjalanan yang stabil dan lancar serta tidak begitu memenatkan.
Tambahnya, reka bentuk dalaman moden, tempat duduk yang selesa serta kemudahan surau kepada penumpang Muslim dan kafetaria dan tandasmesra pengguna turut memberikan pengalaman perjalanan jarak jauh yang menyenangkan kepada penumpang dengan kadar tambang yang berbaloi.


















