Accessibility Tools

Skip to main content

Usahawan jahitan Ahmad Shahmin raih Anugerah Datin Wan Norhanita

  • 15 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 30

KOTA DARULNAIM, 15 November – Berbekalkan kemahiran jahitan yang dipelajari di Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) DUN Limbongan Ahmad Shahmin Ab Razab berjaya membina kerjaya sebagai usahawan dengan memiliki premis perniagaan sendiri di Pasir Puteh.

Kejayaan alumni Darul Niswah (PPWK) Limbongan sesi 2020 itu melayakkannya menerima Anugerah Datin Wan Norhanita sempena Majlis Graduasi Darul Niswah (PPWK) Kali Ke-17 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim pada 31 Oktober.

Menerusi pengiktirafan itu, Ahmad Shahmin membawa pulang sijil penghargaan serta Baucar Khas Tabung Usahawan Wanita bernilai RM2,500.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Ahmad Shahmin atas kejayaan membina perniagaan sendiri hasil kemahiran yang diperoleh menerusi PPWK.

Beliau berkata, graduan PPWK perlu berani meneroka peluang dan mengembangkan kemahiran yang dimiliki supaya dapat memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat.

“Setiap graduan mempunyai kisah perjuangan tersendiri. Ada yang terpaksa membahagikan masa antara kelas dengan urusan rumah tangga, menguruskan anak-anak serta keluarga dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan amanat khas pada majlis berkenaan.

Ahmad Shahmin mengusahakan perniagaan jahitan di premis miliknya yang terletak di Jalan Panglima Raja, Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh dengan menawarkan perkhidmatan jahitan kepada pelanggan.

Hasil ketekunan serta penekanan terhadap kualiti kerja, perniagaannya turut menerima tempahan jahitan secara pukal sehingga 2,000 pasang baju bagi jenama Billyn dan Bidadari Syurga.

Selain menguruskan perniagaan sendiri, beliau turut aktif menyumbang kepakaran dalam bidang kemahiran apabila berkhidmat sebagai penceramah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta tenaga pengajar di Pusat Komuniti Desa.

Menurut Dato’ Rohani, Anugerah Datin Wan Norhanita diberikan kepada alumni cemerlang yang berjaya berdikari dengan memiliki premis perniagaan sendiri, dipilih daripada 4,682 ahli Alumni PPWK sejak program itu diperkenalkan pada 2006.

Tambahnya, kejayaan Ahmad Shahmin membuktikan kemahiran yang diperoleh melalui PPWK mampu menjadi asas kepada pembinaan kerjaya dan melahirkan usahawan yang bukan sahaja berdikari, malah berupaya berkongsi kepakaran serta menyumbang kepada pembangunan kemahiran masyarakat.

Pautan berjaya disalin!