Accessibility Tools

Skip to main content

Bermula menjahit kecil-kecilan di rumah, Nurusyahirah raih Anugerah Datin Tuan Sabariah

  • 15 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 42

KOTA DARULNAIM, 15 November – Bermula dengan mengusahakan perniagaan jahitan dari rumah, Alumni Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Apam Putra Nurusyahirah Amir  berjaya membuktikan kemahiran yang dipelajari mampu menjadi titik permulaan untuk membina kerjaya dan mencipta kejayaan sendiri.

Berkat usaha dan kesungguhannya sejak 2018, beliau terpilih menerima Anugerah Datin Tuan Sabariah pada Majlis Graduasi Darul Niswah (PPWK) Kali Ke-17 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim pada 31 Oktober.

Menerusi pengiktirafan itu, Nurusyahirah membawa pulang sijil penghargaan serta Baucar Khas Tabung Usahawan Wanita bernilai RM2,500.

Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kelantan (PURNAMA), Datin Panglima Perang Wan Norhanita Wan Yaacob.

Pengiktirafan itu selari dengan harapan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim yang mahu graduan PPWK memanfaatkan kemahiran diperoleh untuk membina kerjaya serta meningkatkan kesejahteraan keluarga.

“Jangan berhenti di sini! Teruskan melangkah. Kejayaan hari ini, manfaatkanlah untuk menjana pendapatan diri dan keluarga yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan amanat khas pada majlis berkenaan.

Beliau turut menyatakan bahawa usaha yang dimulakan dengan kemudahan asas seperti sebuah mesin jahit atau mesin sulaman di rumah berpotensi dikembangkan sehingga mampu menggaji pekerja pada masa hadapan.

Nurusyahirah yang merupakan graduan PPWK Apam Putra tahun 2018 mengusahakan perniagaan jahitan dari rumahnya di Pasir Mas dengan menerima tempahan daripada pelbagai butik pengantin.

Keupayaan beliau mengembangkan kemahiran dalam bidang berkenaan turut dibuktikan menerusi pencapaian dalam beberapa pertandingan kemahiran, termasuk menjuarai Pertandingan Menjahit Baju Kurung Pesak Buluh Peringkat Daerah sempena Hari Kemahiran KEMAS Malaysia.

Beliau juga merupakan Juara Pertandingan Baju Merdeka Paling Cantik serta meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Menjahit Baju Kurung Pesak Buluh Peringkat Daerah.

Pautan berjaya disalin!