15,000 ekor benih ikan baung dilepaskan ke Sungai Tasek Pauh
-
15 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
43
KOTA DARULNAIM, 15 November - Sebanyak 15,000 ekor benih ikan baung telah dilepaskan ke Sungai Tasek Pauh, Pasir Puteh bersempena Program Pengenalpastian Lubuk Ikan anjuran Pejabat Perikanan Negeri Kelantan dalam usaha menambah stok ikan dan memulihara sumber perikanan sungai.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, benih ikan tersebut dihasilkan oleh Pusat Pengembangan Akuakultur Machang.
Katanya, inisiatif ini bertujuan meningkatkan stok ikan di perairan umum, memulihkan sumber perikanan sungai serta memastikan kelangsungan habitat dan ekosistem akuatik terus terpelihara.
Mengulas tentang program mengenal pasti dan memelihara lubuk ikan pula, Dato' Tuan Mohd Saripudin berkata, usaha tersebut juga penting bagi memastikan kawasan pembiakan dan habitat semula jadi ikan terus terjaga daripada ancaman pencemaran serta aktiviti penangkapan ikan yang merosakkan.
"Program ini bukan sekadar aktiviti menangkap ikan secara tradisional, malah menjadi usaha menghidupkan kembali nostalgia dan warisan masyarakat kampung yang semakin dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
"Sebanyak 700 ekor ikan puyu dewasa dilepaskan bagi memeriahkan program pada tersebut," katanya di media sosial, pada Sabtu.
Dalam masa yang sama, katanya, usaha pemuliharaan sumber perikanan darat perlu terus diperkasakan melalui penjagaan ekosistem sungai melalui larangan kaedah penangkapan ikan yang merosakkan serta program pelepasan benih ikan ke perairan umum.
"Semoga program seumpama ini terus mendapat sambutan dalam usaha memelihara warisan tradisi serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga khazanah perikanan negeri," katanya.












