Kejayaan sebenar LED lahirkan pemain seimbang tuntutan agama-sukan
-
15 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
-
46
KOTA DARULNAIM, 15 November – Di samping kemenangan di padang, kejayaan sebenar penganjuran Liga Elit DUN (LED) adalah keupayaan melahirkan pemain bola sepak yang mengutamakan tuntutan agama seiring kecemerlangan sukan.
Sehubungan dengan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil merangkap Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Hilmi Abdullah berkata, amalan menunaikan solat Asar secara berjemaah di padang sebelum perlawanan, sebagaimana dilaksanakan pemain Guchil FC, membuktikan bahawa tanggungjawab agama tidak menjadi penghalang kepada aktiviti sukan.
Menurutnya, kerajaan negeri berhasrat menjadikan LED sebagai medan mencungkil bakat bola sepak dan platform membentuk sahsiah, disiplin dan kepimpinan anak muda berteraskan nilai Islam.
“Melalui kejohanan ini, kerajaan negeri berusaha menjadikan sukan sebagai medan dakwah dan tarbiah. Pemain dididik dan disyaratkan supaya menutup aurat semasa bermain, menjaga solat walaupun terpaksa bersolat di atas padang, serta memastikan perlawanan tamat sebelum waktu Maghrib,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.
Beliau menegaskan, pendekatan tersebut membuktikan bahawa aktiviti sukan mampu menjadi sebahagian daripada ibadah apabila dilaksanakan dengan mematuhi tuntutan syariat serta menjaga adab dan akhlak.
Jelasnya, usaha membudayakan amalan beragama dalam kalangan pemain juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memiliki kemahiran sukan, malah mempunyai jati diri dan keperibadian unggul.
“Semoga usaha ini dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan, bahkan berdisiplin, berakhlak mulia dan berjiwa kepimpinan. Merekalah pewaris kepimpinan negeri dan ummah pada masa hadapan,” ujarnya.
Untuk rekod, kejohanan berkenaan bermula pada tahun 2005 dengan nama Kejohanan Bola Sepak Liga DUN sebelum dijenamakan semula sebagai Liga Elit DUN pada tahun 2018.
Selepas lebih dua dekad penganjuran, LED berkembang sebagai platform pertandingan bola sepak peringkat akar umbi di Kelantan dengan penyertaan terkumpul dilaporkan mencecah 800 pasukan dari 45 kawasan Dewan Negeri (DUN).
Sementara itu, Guchil FC berjaya mara ke pusingan ketiga yang menghimpunkan 16 pasukan selepas menewaskan Bayu JR FC, wakil Dewan Negeri Pengkalan Pasir dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan yang berlansung di Padang Bola Domis, Tanah Merah pada Sabtu.









