Accessibility Tools

Skip to main content

AKSB-Ranhill Technologies meterai NDA bagi projek NRW RM84.78 juta

  • 12 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 30

KOTA BAHRU, 12 November – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Ranhill Technologies Sdn Bhd (RTSB) memeterai Perjanjian Kerahsiaan Data (NDA) bagi pelaksanaan Program Air Tidak Berhasil (NRW) Nasional Pendekatan 1, Fasa 2 (Reka dan Bina) Negeri Kelantan.

Penandatanganan perjanjian itu menjadi langkah awal memperkukuh kerjasama kedua-dua pihak dalam usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri berkenaan.

AKSB diwakili Pengurus Besar Azhar  Hanafi, manakala RTSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Izani Ibrahim.

Majlis penandatanganan berlangsung di pejabat RTSB di Johor Bahru hari ini, bersempena lawatan teknikal AKSB ke Ranhill SAJ Sdn Bhd (RSAJ) bagi meninjau sistem pengebilan serta pelaksanaan program NRW di syarikat berkenaan.

AKSB menerusi laman sosial menyatakan, lawatan itu memberi peluang kepada pihaknya meneliti persediaan RTSB bagi melaksanakan projek berkenaan di Kelantan.

Katanya, projek bernilai RM84.78 juta itu dibiayai menerusi dana Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan tempoh kontrak selama 36 bulan bermula Oktober 2026 hingga Oktober 2029.

"Perjanjian NDA berkenaan menyediakan asas bagi perkongsian data dan maklumat projek secara terkawal, selain memastikan kerahsiaan maklumat yang dikongsi antara kedua-dua pihak bagi tujuan perancangan serta pelaksanaan program," kata kenyataan tersebut, hari ini.

Lawatan itu turut menjadi platform perkongsian pengalaman dalam pengurusan pengebilan dan pengurangan NRW, khususnya bagi mengenal pasti amalan bersesuaian untuk diterapkan dalam operasi AKSB.

Kerjasama AKSB- RTSB itu diharap dapat memperkukuh pelaksanaan program pengurangan NRW secara lebih tersusun, meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong kemampanan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Kelantan.

Pautan berjaya disalin!