120 peserta terima Kit Tanaman Program Dapur Hijau Kubang Kerian 2026
-
12 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Ustaz Asri Daud
-
29
KUBANG KERIAN, 12 November - Sebanyak 120 peserta dari DUN Salor, Pasir Tumboh dan Demit menerima kit tanaman sayuran menerusi Program Dapur Hijau Parlimen Kubang Kerian Tahun 2026.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Demit YB Mohd Asri Mat Daud berkata, sumbangan 120 kit tanaman itu disediakan oleh Biotech Corporation Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri untuk diagihkan kepada peserta yang terlibat.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Dewan Dato’ Daud Iraqi pada 9 November lalu.
Menurutnya, amalan menanam sayuran walaupun dalam skala kecil di sekitar rumah atau kebun wajar dijadikan sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Kelantan.
Katanya, usaha tersebut bukan sahaja dapat membantu menjamin keselamatan makanan, malah mampu menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah dan memenuhi keperluan mendesak.
“Penanaman sayuran walaupun dalam skala kecil di persekitaran rumah atau kebun hendaklah dijadikan amalan kehidupan rakyat Kelantan bagi menjamin keselamatan makanan, jimat kos, atasi keperluan mendesak dan hijaukan alam sekitar,” katanya di laman rasmi pada Isnin.
YB Mohd Asri yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada Biotech Corporation Sdn. Bhd., Jabatan Pertanian Negeri serta semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan.












