YB Zamakhshari pikul amanah portfolio Kebudayaan dan Warisan Kelantan
-
12 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
47
KOTA DARULNAIM, 12 November - Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad menerima amanah untuk menanggung tugas portfolio Kebudayaan dan Warisan Negeri Kelantan dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah hati.
Katanya amanah berkenaan bukan sekadar pertambahan bidang tugas, sebaliknya tanggungjawab besar dalam memastikan khazanah kebudayaan, kesenian, adat resam dan warisan negeri terus dipelihara, diperkasa serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, Kelantan mempunyai identiti kebudayaan dan warisan tersendiri yang kaya dengan nilai sejarah, tradisi, kesenian serta kearifan tempatan.
Khazanah berkenaan adalah sebahagian daripada jati diri dan keunikan masyarakat Kelantan yang perlu terus dipelihara berlandaskan nilai-nilai Islam.
Sehubungan dengan itu, beliau berhasrat memberikan perhatian kepada beberapa aspek utama termasuk pemeliharaan warisan melalui usaha memastikan khazanah sejarah, adat dan warisan negeri terus dipelihara serta didokumentasikan.
Di samping itu, pemerkasaan kesenian dan budaya tempatan yang selari dengan syariat Islam serta nilai dan identiti masyarakat Kelantan turut menjadi keutamaan.
Beliau juga mahu menggalakkan penglibatan generasi muda sebagai pewaris, penggiat dan pelapis dalam bidang kebudayaan dan warisan.
Dalam masa sama, kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi kebudayaan, penggiat seni, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat akan diperluas.
Beliau turut memberi jaminan kesinambungan dasar, program dan perancangan sedia ada akan dipastikan dapat diteruskan menerusi kerjasama semua pihak berkaitan.
YB Zamakhshari merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan amanah diberikan kepimpinan Kerajaan Negeri.
"Insya-Allah, saya akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin dengan semangat kerja berpasukan, keterbukaan dan komitmen untuk kepentingan rakyat serta negeri Kelantan," katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Untuk rekod, keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam menyaksikan pelantikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ayer Lanas YB Datuk Kamaruddin Md Nor sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak disambung berkuat kuasa pada 9 November 2026 setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Ekoran daripada itu, Portfolio Pelancongan dan Kesenian dipangku YB Hilmi Abdullah manakala Portfolio Kebudayaan dan Warisan dipikul oleh YB Zamakhshari Muhamad.








