Accessibility Tools

Skip to main content

Amanah silih berganti, khidmat diteruskan demi Kelantan

  • 12 November 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 76

SEBUAH pentadbiran yang berteraskan amanah dinilai melalui siapa yang memegang jawatan. Lebih daripada itu, ukurannya dilihat sejauh mana kesinambungan dasar, kecekapan perkhidmatan dan kepentingan rakyat terus terpelihara. Jawatan boleh silih berganti namun tanggungjawab membangunkan negeri mesti diteruskan selari dengan perubahan pemegang amanah.

Demikian hakikat yang wajar dihayati susulan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan menyusun semula tanggungjawab Portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sebagaimana diumumkan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan pada 11 November 2026.

Keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang berlangsung di Kuala Lumpur itu menyaksikan pelantikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ayer Lanas YB Datuk Kamaruddin Md Nor sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak disambung berkuat kuasa pada 9 November 2026 setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Pelancongan sebagai pemacu ekonomi rakyat

Menerusi kenyataan media bertarikh 12 November, YB Hilmi Abdullah menyatakan kesediaannya menerima tanggungjawab tambahan dengan penuh kesyukuran dan rendah hati.

Sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, beliau mempunyai pertalian tugas secara langsung dengan pembangunan destinasi pelancongan melalui penyeliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hubungan tersebut membuka ruang menyepadukan pembangunan prasarana, kebersihan, pengindahan kawasan dan penyelenggaraan kemudahan awam dengan strategi promosi pelancongan negeri.

Enam pendekatan yang digariskannya merangkumi pemerkasaan pelancongan daerah, ekopelancongan, ekonomi komuniti, pemasaran digital, kesenian kreatif serta kebersihan dan keselesaan destinasi.

Penekanan terhadap ekonomi komuniti amat signifikan kerana kejayaan pelancongan seharusnya diukur berdasarkan jumlah pengunjung dan lebih bermakna ialah manfaat ekonomi yang dinikmati peniaga kecil, pengusaha inap desa, penggiat kraf dan masyarakat setempat.

Apalah ertinya destinasi dipenuhi pengunjung sekiranya penduduk hanya menjadi penonton kepada kemeriahan ekonomi di halaman sendiri?

Dalam konteks ini, jangkaan pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada awal 2027 turut membuka peluang memperluas jaringan pelancongan Kelantan. Namun, potensi tersebut memerlukan kesiapsiagaan prasarana, pembangunan produk dan penyelarasan promosi yang berkesan.

Destinasi seperti Gunung Stong, Kompleks Gua Ikan di Dabong dan Gunung Reng mempunyai keunikan alam semula jadi yang berpotensi diketengahkan secara lebih meluas. Bagaimanapun, pembangunan pelancongan hendaklah mengambil kira keupayaan persekitaran supaya khazanah alam tidak terjejas akibat kegiatan ekonomi yang tidak terkawal.

Pada masa yang sama, kesenian tidak sewajarnya dibataskan kepada kegiatan hiburan semata-mata. Seni visual, kraf, reka bentuk dan persembahan yang bersesuaian dengan nilai masyarakat mampu menjadi wahana pembangunan bakat serta membuka peluang ekonomi kreatif kepada generasi muda.

Warisan dipelihara, libatkan generasi muda

Sementara itu, YB Zamakhshari Muhamad yang memangku Portfolio Kebudayaan dan Warisan menegaskan komitmennya memastikan khazanah sejarah, adat resam dan kebudayaan Kelantan terus dipelihara berlandaskan nilai Islam.

Empat keutamaan beliau meliputi pemeliharaan dan pendokumentasian warisan, pemerkasaan kebudayaan, penglibatan generasi muda serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi kebudayaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.

Pendekatan tersebut penting kerana di samping diarkibkan di muzium, warisan hidup melalui bahasa, persuratan, seni pertukangan, gastronomi, adat kemasyarakatan dan kearifan tempatan yang membentuk jati diri rakyat Kelantan.

Tanpa pewarisan ilmu dan kemahiran secara berterusan, khazanah tersebut berisiko kehilangan pewarisnya.

Sehubungan itu, penglibatan anak muda perlu melangkaui penyertaan dalam acara kebudayaan bermusim. Mereka sewajarnya diberikan peluang mempelajari, mengamalkan dan mengembangkan warisan sebagai sumber ilmu, identiti serta kegiatan ekonomi kreatif.

Pemeliharaan warisan juga menuntut usaha pendokumentasian yang sistematik. Pengetahuan tukang mahir, penggiat seni tradisional dan pewaris adat perlu direkodkan agar tidak lenyap bersama peredaran masa.

Apabila sesuatu kemahiran tradisional kehilangan pewaris, masyarakat bukan sahaja kehilangan hasil seni bahkan sebahagian daripada kebijaksanaan leluhurnya. Oleh itu, kerjasama institusi pendidikan, muzium, penggiat budaya dan komuniti setempat penting bagi memastikan proses pewarisan berlangsung secara berterusan.

Kesinambungan berteraskan UMI dan PMBI

Pembahagian portfolio kepada dua exco sedia ada turut menuntut kerjasama rentas bidang kerana pelancongan, kesenian, kebudayaan dan warisan saling melengkapi.

Pelancongan menyediakan ruang memperkenalkan keunikan negeri manakala kebudayaan dan warisan memberikan identiti kepada pengalaman pengunjung. Kesenian pula menghubungkan kreativiti masyarakat dengan pembangunan bakat dan peluang ekonomi.

Oleh itu, penyelarasan program, peruntukan serta bidang kuasa perlu diberikan perhatian supaya pembahagian tanggungjawab menghasilkan pelaksanaan yang berkesan tanpa pertindihan.

Lebih utama, prinsip Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan (UMI) hendaklah diterjemahkan melalui keikhlasan,  kebertanggungjawaban dan kecemerlangan kerja dengan menterjemahkannya melalui Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menuntut setiap perancangan disusuli tindakan yang dapat dinilai keberhasilannya. Rakyat mengharapkan kemudahan pelancongan yang lebih baik, peluang ekonomi yang berkembang dan warisan negeri yang terus terpelihara.

Dalam hubungan ini, kesinambungan program sedia ada perlu diberikan perhatian supaya perubahan tanggungjawab tidak menjejaskan perancangan yang sedang dilaksanakan. Kerjasama erat antara kedua-dua exco agensi pelaksana dan masyarakat menjadi asas untuk memastikan setiap keutamaan diterjemahkan kepada manfaat nyata.

Akhirnya, kesinambungan pentadbiran insya-Allah dapat memastikan kerusi berjawatan terus berpenghuni dan ukuran sebenar terletak pada keberhasilan dasar, pemeliharaan khazanah negeri dan kesejahteraan rakyat.

Amanah boleh bertukar tangan namun khidmat mesti diteruskan justeru yang kekal adalah nilai bakti yang ditinggalkan untuk negeri dan generasi mendatang.

Pautan berjaya disalin!