Accessibility Tools

Skip to main content

AMK 2025 suntik semangat pengamal media terus berkarya, berintegriti

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 16 Jun – Para pemenang utama Anugerah Media Kelantan (AMK) 2025 menyifatkan pengiktirafan yang diterima bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian peribadi, sebaliknya pengiktirafan kepada seluruh pasukan media yang bekerja di belakang tabir dalam menyampaikan maklumat berkualiti kepada masyarakat.

Mereka turut berharap penganjuran AMK diteruskan sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan pengamal media serta merangsang penghasilan karya yang berintegriti, berimpak tinggi dan dekat dengan rakyat.

Bagi kategori Penyampai Radio Swasta Terbaik penyampai THR Gegar Fazlisham Mat Hussin atau lebih dikenali sebagai Issey, yang dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama menerusi siaran Banjir Kelantan Peringatan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai penghormatan besar yang dikongsi bersama seluruh pasukan penyiaran yang menjadi tulang belakang kejayaannya.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas pengiktirafan sebagai Penyampai Radio Swasta Terbaik sempena Anugerah Media Kelantan 2025.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan, Kelab Media Kelantan Darul Naim dan barisan panel juri atas penghargaan yang cukup bermakna ini.

“Sebenarnya, anugerah ini bukan milik saya seorang. Ia adalah hasil kerja berpasukan yang sentiasa berada di belakang tabir dan di hadapan mikrofon setiap pagi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan penyampainya dalam segmen Bro Pagi Gegar, Hafizi Roslan, yang sentiasa menjadi rakan seperjuangan dalam menghiburkan dan menceriakan pagi para pendengar.

Menurutnya, kejayaan tersebut juga tidak dapat dipisahkan daripada sokongan pasukan pengurusan THR Gegar termasuk Pengurus Kandungan Nik Mohamed Fariz Nek Hassan serta Pengurus Jenama Niq Nur Azarina Sahrin yang sentiasa memberikan kepercayaan, bimbingan dan dorongan sepanjang kerjayanya dalam dunia penyiaran.

“Penghargaan juga saya tujukan kepada seluruh warga kerja THR Gegar, pihak pengurusan, rakan-rakan media, keluarga dan sahabat yang sentiasa mendoakan serta menyokong perjalanan saya dalam industri ini.

“Sebagai anak Kelantan yang merantau, menerima pengiktirafan ini di negeri sendiri memberikan makna yang sangat besar. Ia bukan sekadar sebuah anugerah, tetapi penghargaan yang akan saya kenang sepanjang hayat,” katanya.

Beliau juga mengakui, anugerah tersebut menjadi pemangkin untuk terus memperbaiki mutu penyampaian, menambah ilmu dan memberikan persembahan terbaik kepada pendengar serta industri penyiaran negara.

“Perjalanan ini masih panjang dan saya masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Pengiktirafan ini menjadi motivasi untuk saya terus meningkatkan kualiti kerja dan memberikan yang terbaik kepada pendengar.

“Paling istimewa, terima kasih kepada semua pendengar THR Gegar yang memilih untuk bersama kami setiap pagi. Tanpa anda, suara kami hanyalah suara di udara,” katanya.

Sementara itu, juara kategori Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik pada Anugerah Media Kelantan (AMK) 2025, Hazelen Liana Kamarudin menyifatkan penganjuran anugerah berkenaan sebagai platform penting yang memberi pengiktirafan dan suntikan motivasi kepada pengamal media untuk terus menghasilkan karya berkualiti serta berimpak tinggi.

Wartawan Sinar Harian itu yang dinobatkan sebagai juara menerusi karya bertajuk Bina Benteng atau Gali Terusan? turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas inisiatif menganjurkan acara berprestij tersebut sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Negeri Kelantan.

“Syabas kepada Kerajaan Negeri Kelantan, khususnya Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud serta Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) selaku pelaksana program ini.

“Walaupun julung kali diadakan, penganjuran ini memberi impak besar kepada pengamal media tempatan dan membuktikan sumbangan mereka sentiasa dihargai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Media Kelantan 2025 di sebuah hotel di sini, Sabtu lalu.

Majlis gilang-gemilang yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh Pantai Timur itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud dan menyaksikan 29 pemenang menerima pengiktirafan dalam empat kategori yang dipertandingkan sebagai tanda penghargaan kepada wartawan, editor, jurugambar, jurukamera, penerbit dan penyampai radio yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat, berwibawa dan berintegriti kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Hazelen mencadangkan penganjuran AMK sewajarnya diteruskan sebagai acara tahunan kerana bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan pengamal media, malah menjadi pemangkin kepada penghasilan karya kewartawanan yang lebih berkualiti dan berdaya saing.

“Apabila usaha dan hasil kerja dihargai, sudah tentu ia memberi semangat kepada wartawan untuk terus menghasilkan laporan yang berimpak tinggi, menyentuh nilai kemanusiaan sejagat serta memberi manfaat kepada masyarakat,” jelasnya.

Beliau turut berpandangan bahawa pada masa hadapan, penganjur boleh mempertimbangkan syarat khas yang memberi keutamaan kepada karya-karya berkaitan pembangunan dan pencapaian negeri sepanjang pelaksanaan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

“Pada hemat saya, wajar dipertimbangkan agar karya yang dipertandingkan mempunyai kaitan dengan pencapaian Kelantan sepanjang pelaksanaan PMBI.

“Melalui pendekatan itu, para juri dan masyarakat dapat melihat dengan lebih jelas perkembangan sebenar negeri, termasuk aspek kestabilan pentadbiran, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat yang dicapai sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya.

Manakala wartawan Harian Metro Hazira Ahmad Zaidi yang merangkul tempat pertama kategori Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik menerusi karya Kusta Bukan Sumpahan melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterimanya.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berbesar hati menerima anugerah ini. Pengiktirafan ini bukan sahaja untuk saya, tetapi juga kepada seluruh pasukan editorial dan pihak yang sentiasa memberi sokongan dalam menghasilkan laporan terbaik untuk masyarakat.

“Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus menghasilkan karya kewartawanan yang berfakta, berintegriti dan memberi impak kepada rakyat. Saya juga merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas penganjuran majlis berprestij ini bagi meraikan pengamal media di seluruh Kelantan,” katanya.

Beliau berpendapat, anugerah tersebut membuktikan karya kewartawanan yang mengangkat isu kemanusiaan dan kehidupan golongan rentan masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat serta panel penilai.

Tambahnya, antara penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan pada masa akan datang ialah memperbanyakkan kategori anugerah bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengamal media untuk diketengahkan.

"Anugerah ini juga dicadangkan dibuka kepada seluruh pengamal media di Kelantan, termasuk petugas media di bawah kerajaan negeri, sekali gus dapat mewujudkan persaingan yang lebih sihat serta meningkatkan kualiti dan profesionalisme dalam kalangan pengamal media," sarannya.

Ketiga-tiga pemenang utama berkenaan berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.

Pautan berjaya disalin!