Julung kali penyampai radio diiktiraf, Che Sue rangkul johan AMK 2025
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 16 Jun – Pengiktirafan buat pertama kali kepada kategori Penyampai Radio dalam Anugerah Media Kelantan (AMK) 2025 membuka lembaran baharu kepada industri penyiaran negeri apabila Suhaila Mat Daud atau lebih dikenali sebagai Che Sue dinobatkan sebagai Pemenang Tempat Pertama kategori Penyampai Radio Kerajaan Terbaik menerusi siaran bertajuk Kelantan Diiktiraf Negeri Mampan 2025.
Penyampai Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan itu menyifatkan penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Negeri Kelantan sebagai satu penghargaan besar kepada seluruh warga media, termasuk golongan penyampai radio yang selama ini berperanan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas inisiatif menganjurkan program tersebut yang memberi ruang lebih luas kepada pengamal media untuk mengetengahkan hasil kerja masing-masing.
“Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana menganjurkan HAWANA Peringkat Negeri Kelantan.
“Kalau sebelum ini HAWANA lebih tertumpu kepada wartawan, kali ini penyampai radio turut diberi peluang untuk bersaing dan menampilkan karya masing-masing.
“Perbezaannya, wartawan mencari berita manakala penyampai radio menyampaikan berita dan maklumat kepada masyarakat. Namun matlamat kami tetap sama iaitu memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan bermanfaat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya lagi, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kelab Media Kelantan berjaya mewujudkan platform yang inklusif kepada semua rakan media sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam industri komunikasi dan penyiaran.
Tambahnya, pengenalan kategori Penyampai Radio dalam AMK 2025 menjadi pencetus semangat kepada penggiat radio untuk mencabar kemampuan masing-masing dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti.
“Apabila dimaklumkan mengenai kewujudan kategori Penyampai Radio, saya rasa terpanggil untuk mencuba menghantar karya.
“Untuk penyertaan pertama ini, saya memilih tajuk Kelantan Diiktiraf Negeri Mampan 2025 dan Alhamdulillah, karya tersebut dipilih sebagai johan,” ujarnya.
Beliau berharap pengiktirafan seumpama itu diteruskan pada masa hadapan bagi menghargai sumbangan pengamal media penyiaran yang memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat.
“Anugerah seperti ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada pengamal media, malah menjadi suntikan motivasi untuk kami terus meningkatkan mutu penyampaian serta menyampaikan maklumat yang lebih berkualiti kepada masyarakat,” katanya.
Untuk rekod, AMK 2025 merupakan penganjuran julung kali sempena sambutan HAWANA 2026 Peringkat Negeri Kelantan yang menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai organisasi media dalam bidang kewartawanan, penyiaran, fotografi dan radio.








