Accessibility Tools

Skip to main content

Penerbangan sulung Kota Bharu-Jakarta-Kota Bharu catat 302 penumpang

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 16 Jun — Penerbangan sulung laluan terus Kota Bharu-Jakarta-Kota Bharu yang dikendalikan AirAsia mencatatkan jumlah keseluruhan 302 penumpang pada hari pertama operasinya, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan terhadap pembukaan laluan antarabangsa baharu yang dijangka merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi Kelantan.

Sehubungan itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, sebanyak 184 penumpang berlepas dari Kota Bharu ke Jakarta pada penerbangan sulung sebelah pagi, manakala 118 penumpang dari Jakarta tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa pada sebelah petang.

Beliau berkata, sambutan positif itu memberi petunjuk awal terhadap potensi besar laluan berkenaan dalam meningkatkan aliran pelancong serta memperkukuh hubungan antara Kelantan dan Indonesia.

“Ini merupakan satu langkah besar untuk mempromosikan Kelantan dalam bidang pelancongan.

"Saya sangat positif terhadap perkembangan dan peningkatan jumlah pengunjung ke Kelantan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media Program Sambutan Pelancong Sempena Penerbangan Sulung AirAsia dari Jakarta ke Kota Bharu di LTSIP, hari ini.

Menurutnya, kumpulan penumpang yang tiba dari Jakarta terdiri daripada pelancong yang memilih Kelantan sebagai destinasi lawatan dan disambut oleh kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka.

Beliau memaklumkan, pembukaan laluan antarabangsa itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkukuh kedudukan Kota Bharu sebagai hab penerbangan serantau yang menghubungkan Kelantan dengan beberapa destinasi utama di Asia.

“Laluan Kota Bharu-Jakarta bermula dengan baik dan kita berharap kejayaan ini akan berterusan serta terus bertambah baik dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Tambahnya, penerbangan terus Kota Bharu-Jakarta mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit dengan kekerapan empat kali seminggu, selain menawarkan tambang kompetitif bergantung kepada tempoh tempahan.

Tambahnya, kejayaan laluan tersebut mampu membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan, selain menyokong usaha memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa dari Kelantan ke destinasi lain seperti Bangkok, Ho Chi Minh City dan Guangzhou pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada AirAsia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pengurusan LTSIP, agensi pelancongan, pengusaha hotel, penyedia perkhidmatan pengangkutan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbangan sulung berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zameri Mat Nawang, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)  Dato’ Mohd Izani Ghani, Director Global & Government Affairs AirAsia Zamani Rafique serta Pengurus LTSIP Suhaimi Abdul Sani.

Pautan berjaya disalin!