Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti tema Hijratul Rasul Kelantan 1448H
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 17 Jun — Tema “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” dipilih sebagai teras Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1448H/2026M bagi memperkukuh pembangunan ummah yang berpaksikan wahyu, sekali gus melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak dan sejahtera.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, tema tersebut amat relevan dalam mendepani cabaran semasa kerana Manhaj Rabbani merupakan pendekatan hidup yang berteraskan petunjuk Allah SWT dalam membentuk cara berfikir, bertindak dan membuat keputusan.
Menurutnya, pembangunan ummah yang berkualiti hanya dapat direalisasikan apabila kehidupan masyarakat dipandu oleh nilai dan prinsip Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
“Hakikatnya tiada jalan yang lebih tepat untuk membangunkan ummah yang berkualiti serta mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan makmur melainkan dengan menjunjung Manhaj Rabbani dalam seluruh aspek kehidupan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Hijratul Rasul 1448H sempena Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1448H/2026M di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, malam tadi.
Beliau menegaskan, umat Islam perlu menghayati semangat hijrah sebagai pemangkin perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik melalui pembinaan masyarakat yang berteraskan prinsip hijrah.
Menurutnya, terdapat tiga paksi utama yang perlu dijadikan panduan dalam merealisasikan agenda tersebut, iaitu pemerkasaan pembangunan insan dan pendidikan, pengukuhan institusi keluarga serta pemerkasaan perpaduan ummah dan kemandirian sosioekonomi.
Mengulas paksi pertama, beliau berkata Hijrah Rasulullah SAW membuktikan bahawa perubahan besar bermula dengan pembinaan insan yang berilmu, beriman dan berakhlak.
“Pendidikan berteraskan al-Quran dan al-Sunnah hendaklah terus diperkasakan bagi melahirkan generasi yang berjati diri, berintegriti dan bertakwa.
“Melalui ilmu dan tarbiah yang benar, umat Islam mampu berhijrah daripada kejahilan kepada kefahaman, daripada kelemahan kepada kekuatan,” katanya.
Bagi paksi kedua, beliau menegaskan bahawa pengukuhan institusi keluarga perlu diberi perhatian serius dalam menghadapi cabaran semasa seperti keruntuhan institusi keluarga, gejala sosial dan penyalahgunaan teknologi.
Katanya, keluarga yang kukuh merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang berakhlak serta mampu mendepani cabaran zaman berlandaskan nilai Islam.
“Semangat hijrah perlu diterjemahkan melalui pengukuhan institusi keluarga kerana keluarga yang sejahtera akan melahirkan masyarakat yang sejahtera,” katanya.
Menyentuh paksi ketiga, beliau berkata antara kejayaan terbesar peristiwa hijrah ialah terbentuknya masyarakat yang bersatu padu dan berdikari melalui ikatan persaudaraan Muhajirin dan Ansar.
Menurutnya, teladan tersebut membuktikan bahawa perpaduan mampu melahirkan tamadun yang gemilang serta memperkukuh kekuatan umat.
“Oleh itu, umat Islam perlu terus berhijrah daripada perpecahan kepada kesatuan, daripada budaya bergantung kepada budaya berdikari demi membina ummah yang kuat, berdaya saing dan dihormati,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan akan terus komited memperkukuh ketiga-tiga paksi berkenaan menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang memfokuskan pembangunan insan, pengukuhan institusi keluarga, kebajikan rakyat, pembangunan belia serta pemerkasaan syiar Islam.
Jelasnya, usaha tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan ummah berkualiti yang menjadikan Manhaj Rabbani sebagai panduan dalam membina masyarakat dan negeri yang sejahtera serta diberkati Allah SWT.








