Accessibility Tools

Skip to main content

Tahun Baharu Hijrah 1448H titik muhasabah, perbaharui tekad

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 17Jun – Kedatangan Tahun Baharu Hijrah 1448H wajar dijadikan sebagai titik muhasabah untuk memperbaiki diri, memperkukuhkan iman, meningkatkan amal soleh serta memperbaharui tekad dalam berkhidmat kepada agama, masyarakat dan negeri. 

Demikian kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato'Wan Roslan Wan Hamat.

Menurutnya, peristiwa hijrah Rasulullah SAW adalah lambang perubahan, pengorbanan, kesabaran dan ketaatan yang membawa kepada kejayaan umat Islam.

Beliau berkata, semangat hijrah perlu dihayati oleh seluruh umat Islam dalam usaha melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik dan diredai Allah SWT.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa. 

Dalil tersebut dirujuk dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Tambahnya, kedatangan tahun baharu Hijrah perlu dimanfaatkan sebagai ruang untuk menilai diri serta memperkukuhkan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab kepada agama dan masyarakat.

Beliau turut mendoakan agar Tahun Baharu Hijrah 1448H membawa keberkatan, kesejahteraan dan rahmat kepada seluruh rakyat Kelantan khususnya serta umat Islam amnya.

“Semoga kita semua terus istiqamah berhijrah ke arah kehidupan yang lebih diredai Allah SWT,” katanya.

Pautan berjaya disalin!