Accessibility Tools

Skip to main content

Mudir Pondok Gelang Mas dinobat Tokoh Hijratul Rasul Kelantan 1448H

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 17 Jun – Mudir Madrasah Yusufiah Pondok Banggol Naim Gelang Mas, Tuan Guru Haji Awang Yusuf, 77, dinobatkan sebagai Tokoh Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1448 Hijrah.

Majlis pengurniaan anugerah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dalam majlis yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, malam tadi.

Sebagai penerima anugerah tertinggi itu, beliau menerima wang tunai RM10,000, plak serta sijil penghargaan.

Tuan Guru Haji Awang dilahirkan di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas dan mula menuntut ilmu agama seawal usia 10 tahun di Madrasah Ahmadiah, Pondok Kampung Apa-Apa sebelum menyambung pengajian di Madrasah Al-Bakriyah, Pondok Pasir Tumboh.

Kesungguhan, ketekunan dan kecintaan beliau terhadap ilmu membolehkan beliau mendalami pelbagai cabang ilmu agama di bawah bimbingan ulama di Kelantan sebelum mengabdikan kehidupannya untuk mendidik masyarakat serta memperkasakan syiar Islam.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hasanah Hassan yang sentiasa menjadi pendamping dan pendokong kuat dalam perjuangan dakwah serta pendidikan Islam.

Ketokohan beliau mula terserlah apabila diberi kepercayaan menggantikan gurunya menyampaikan ilmu agama di Pondok Pasir Tumboh ketika masih dalam tempoh pengajian.

Hasil sokongan dan keyakinan para guru terhadap kemampuan beliau, Madrasah Ad-Diniyyah Al-Yusufiyah diasaskan pada tahun 1987 ketika beliau berusia 38 tahun.

Selain memimpin institusi pondok, beliau turut memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan Islam di negeri ini apabila dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pusat Pengajian Pondok sejak tahun 2015 hingga kini.

Kepimpinan beliau disifatkan membantu memperkukuhkan jaringan institusi pondok serta memperkasakan sistem pendidikan Islam di Kelantan.

Sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangannya, beliau pernah menerima Anugerah Tok Guru Pondok 1438H sempena Himpunan Pendidik Islam 2017.

Keperibadian yang tawaduk, istiqamah dalam menyampaikan ilmu serta komitmen berterusan dalam memartabatkan pendidikan Islam menjadikan beliau contoh teladan kepada masyarakat.

Pemilihan beliau sebagai Tokoh Hijratul Rasul Kelantan 1448H adalah sebagai menghargai jasa, pengorbanan dan sumbangan besar yang dicurahkan kepada agama, bangsa dan negeri.

Untuk rekod, anugerah Tokoh Hijratul Rasul diberikan kepada individu yang menunjukkan pengorbanan dan kesungguhan berterusan dalam memartabatkan agama Islam serta membangunkan masyarakat selaras dengan semangat Hijrah Rasulullah SAW.

Pada majlis sama, turut disampaikan beberapa anugerah lain termasuk Anugerah Tokoh Usahawan Daei, Anugerah Tokoh Saudara Kita, Anugerah Jajahan Cemerlang, Anugerah Pondok Harapan, Anugerah Pondok Kreatif, Anugerah Tanah Perkuburan Islam Terbaik serta anugerah kepada sekolah dan pelajar terbaik daripada Yayasan Islam Kelantan dan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!