Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud


Hijrah Rasulullah titik perubahan penting dakwah Islam - Menteri Besar Kelantan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 17 Jun – Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah merupakan titik perubahan penting dalam perjalanan dakwah Islam.

Demikian menurut Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud dalam perutusan sempena Sambutan Hijratul Rasul 1448H peringkat Negeri Kelantan 1448H/2026M yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, malam tadi.

Katanya lagi, sepanjang 13 tahun berada  di Mekah, Rasulullah SAW bersama para sahabat baginda berdepan pelbagai ujian, tekanan dan penentangan daripada golongan musyrikin dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, peristiwa Hijrah membuka lembaran baharu kepimpinan Islam yang dipacu semangat jihad sehingga Islam berkembang ke seluruh dunia.

“Kegemilangan ini lahir daripada pengorbanan dan ketabahan Rasulullah SAW serta para sahabat baginda dalam menempuh pelbagai ujian.

“Demikianlah sunnatullah dalam membangunkan ummah yang menuntut hijrah dan jihad dengan penuh iman, pengorbanan dan istiqamah,” jelasnya.

Dato' Mohd Nassuruddin berharap semangat Hijrah akan terus menjadi pemangkin kepada lahirnya ummah yang berkualiti, masyarakat yang sejahtera serta negeri yang sentiasa dinaungi keberkatan Allah SWT.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah merupakan satu sejarah yang amat besar ertinya terhadap perkembangan Islam dan kekuatan umatnya.

Katanya, Kerajaan Islam Madinah menjadi model masyarakat majmuk yang berbilang kabilah dan disatukan melalui kekuatan penyatuan ummah.

“Inilah hikmah Hijratul Rasul yang perlu diteladani oleh seluruh umat Islam dengan berusaha meningkatkan kualiti dan kredibiliti melalui teras perpaduan ummah.

“Justeru, tema sambutan Hijratul Rasul peringkat negeri Kelantan tahun ini, ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’, membawa mesej yang sangat bermakna kepada seluruh rakyat Kelantan untuk dijadikan pedoman,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, program Sambutan Hijratul Rasul SAW peringkat Negeri Kelantan merupakan acara tahunan yang menjadi agenda keutamaan kerajaan negeri dan dianjurkan secara terancang sebagai tanda komitmen serta kesungguhan dalam memperingati perjuangan Rasulullah SAW.

Pautan berjaya disalin!