Dato' Siti Zailah dan Dato' Rohani salur bantuan awal kepada mangsa kebakaran Kampung Lubok Stol
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media UKEKWA
RANTAU PANJANG, 18 Jun – Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusof dan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim menyalurkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran di Kampung Lubok Stol, di sini sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga yang terjejas akibat musibah tersebut.
Sehubungan itu, Dato' Rohani berkata, lawatan ziarah itu turut bertujuan meninjau sendiri keadaan mangsa serta mengenal pasti keperluan segera yang diperlukan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal.
Sebelum lawatan bersama Exco Kebajikan itu, Dato' Siti Zailah telah turun menziarahi mangsa pada sebelah pagi 15 Jun lalu bagi menyampaikan sumbangan wang ringgit serta meninjau sendiri keadaan keluarga yang terlibat serta menyelaras keperluan bantuan segera susulan kejadian tersebut.
Kebakaran yang berlaku pada 13 Jun lalu kira-kira pukul 11.45 malam itu melibatkan dua buah rumah yang musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sekitar 30 peratus.
Menurut Dato' Rohani, beliau hadir bersama rombongan yang turut diiringi Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki bagi memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian selain menyampaikan bantuan segera kepada keluarga yang terlibat.
“Kami hadir bagi meninjau sendiri keadaan mangsa serta menyampaikan sumbangan bantuan awal agar dapat membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat musibah ini,” katanya di laman rasmi, pada Isnin.
Beliau berkata, seorang mangsa iaitu Muhammad Izuddin Che Razali, 31, mengalami kecederaan melecur pada bahagian kaki dan telah menerima rawatan di Hospital Lati.
“Semoga mangsa dan keluarga yang terlibat terus diberikan kekuatan, kesabaran serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Selain rumah kediaman, sebuah kereta jenis Proton Waja turut musnah dalam kebakaran tersebut.
Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.
Dato' Rohani berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada mangsa sementara menunggu proses pemulihan serta bantuan susulan daripada agensi dan pihak berkaitan.
















