Tengku Mahkota Kelantan zahir kebimbangan gejala sosial dalam kalangan remaja
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
KOTA BHARU, 17 Jun — Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam masyarakat, khususnya melibatkan golongan remaja yang merupakan bakal pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.
Baginda bertitah, fenomena tersebut kini hadir dalam pelbagai bentuk dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, sama ada dalam kalangan remaja mahupun golongan dewasa.
“Namun memandangkan remaja merupakan bakal pewaris kepimpinan negara, maka tidak hairanlah apabila kegiatan mereka menjadi topik yang paling hangat diperkatakan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1448H/2026M di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, malam tadi.
Baginda turut mengingatkan, bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba Allah SWT yang soleh sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Anbiya ayat 105 yang bermaksud:
"Dan sungguh telah Kami tulis di dalam kitab Zabur sesudah tertulis dalam Luh Mahfuz bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh."
Baginda menjelaskan, konsep pewarisan bumi berkait rapat dengan amanah manusia sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi, memperbaiki kehidupan serta memelihara nilai kemanusiaan daripada terjerumus ke dalam tamadun kebendaan semata-mata.
Merujuk pandangan tokoh pemikir Islam, Syed Qutb, baginda bertitah bahawa golongan yang layak mewarisi bumi ialah mereka yang menghimpunkan keimanan yang hidup dalam hati serta amal soleh yang diterjemahkan dalam kehidupan.
“Dengan itu, solihun dalam ayat ini membawa makna yang sangat kuat dari sudut urus tadbir dan peradaban,” titah baginda.
Menurut baginda, al-Quran menggariskan konsep kesolehan secara menyeluruh yang boleh dirumuskan kepada empat elemen utama.
Elemen pertama ialah ilmu yang menjadi asas kepada pembentukan individu dan masyarakat soleh. Kesolehan tidak dapat dicapai tanpa kefahaman yang benar terhadap akidah, syariah dan tuntutan kehidupan yang digariskan oleh agama.
Elemen kedua ialah amar makruf dan nahi mungkar yang berfungsi sebagai mekanisme sosial bagi memastikan masyarakat tidak terjerumus ke dalam kerosakan dan penyelewengan.
Elemen ketiga ialah imarah, iaitu manifestasi kesolehan dalam pembangunan peradaban melalui pemakmuran bumi, pembangunan institusi, kesejahteraan keluarga dan kemajuan masyarakat.
Sementara itu, elemen keempat ialah tazkiah al-nafs yang memastikan kesolehan tidak hanya bersifat luaran, sebaliknya berteraskan keikhlasan, ketakwaan dan usaha berterusan memperbaiki jiwa.
Sebelum mengakhiri titah, baginda menyeru masyarakat agar menjadikan semangat Hijrah sebagai pemangkin untuk memperbaharui iltizam ke arah menjadi insan yang lebih cemerlang serta menghayati keempat-empat elemen kesolehan tersebut dalam kehidupan seharian.
Baginda turut mendoakan agar negeri Kelantan terus maju, makmur dan sentiasa berada di bawah lindungan, keberkatan serta hidayah Allah SWT.








