Accessibility Tools

Skip to main content

Tok guru pondok diharap terus bimbing kerajaan negeri laksana ajaran Islam - MB Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 18 Jun — Kerajaan Negeri Kelantan berharap tok guru pondok terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memberi pandangan, nasihat dan teguran membina bagi memastikan ajaran Islam dapat diterjemahkan secara menyeluruh dalam pentadbiran serta kehidupan masyarakat.

Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pandangan daripada institusi pondok amat penting kerana kerajaan berhasrat melaksanakan ilmu yang diajar di pondok-pondok dalam dasar dan pentadbiran negeri.

“Kita mahu tok guru pondok memberi pandangan kepada kerajaan kerana kita hendak melaksanakan ilmu yang diajar di pondok-pondok ini.

“Pihak kerajaan sedia menerima segala pandangan dan kritikan yang membina. Kita hendak menjaga kerajaan yang kita bentuk atas dasar Islam,” katanya ketika berucap pada Program Ziarah Mahabbah Pondok Kelantan 2026 di Madrasah Diniah, Pondok Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Beliau berkata, hubungan erat antara kerajaan dan institusi pondok perlu terus diperkasakan bagi memastikan agenda pembangunan negeri sentiasa berpaksikan nilai serta prinsip Islam.

Menurutnya, Kelantan kini berada pada fasa Penghayatan Membangun Bersama Islam yang menumpukan aspek pelaksanaan dan pengamalan, bukan sekadar peringkat dasar.

“Kita telah sampai kepada peringkat Penghayatan Membangun Bersama Islam. Maknanya penghayatan ini adalah kita di peringkat pelaksanaan, bukan lagi di peringkat dasar.

“Pemimpin kerajaan perlu melaksanakan ajaran Islam, pegawai kerajaan melaksanakan tuntutan Islam dan rakyat di negeri Kelantan juga melaksanakan tuntutan Islam,” jelasnya.

Beliau optimis pendekatan tersebut semakin mendapat perhatian dan penerimaan masyarakat di seluruh negara, sekali gus membuktikan bahawa pembangunan berteraskan Islam mampu dilaksanakan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau menyeru pelajar pondok agar menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan meletakkan cita-cita yang tinggi dalam bidang pendidikan Islam.

Katanya, generasi muda perlu berazam menjadi pewaris institusi pondok yang mampu menyumbang kepada perkembangan ilmu serta pembangunan masyarakat pada masa hadapan.

“Yang belajar di pondok ini hendaklah meletakkan tekad belajar hingga dapat membuka pondok. Soal boleh atau tidak, kita serahkan kepada Allah, tetapi cita-cita itu hendaklah tinggi,” tegasnya.

Beliau turut mengimbau pesanan generasi terdahulu yang sentiasa menekankan kepentingan menuntut ilmu sehingga menjadi alim dan mampu memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat serta negara.

Menurutnya, semangat tersebut perlu terus disemai bagi memastikan institusi pondok kekal menjadi benteng ilmu, melahirkan ulama dan pendakwah yang dapat membimbing masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan ummah.

Pautan berjaya disalin!