10 calon SPM, STAM DUN Kemahang terima bantuan tablet
Oleh: Syamimi Manah
TANAH MERAH, 18 Jun – Sebanyak 10 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di DUN Kemahang menerima sumbangan tablet pada majlis penyampaian yang diadakan di kediaman Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman, semalam.
YB Mejar (B) Dato' Md Anizam berkata, penerima bantuan terdiri daripada pelajar cemerlang serta pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang telah dikenal pasti dan dicadangkan oleh pihak sekolah sebelum melalui proses semakan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.
Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan pelajar, khususnya dalam era digital yang memerlukan penggunaan teknologi sebagai medium pembelajaran utama.
“Kemudahan tablet ini diharapkan dapat membantu pelajar mendapatkan bahan pembelajaran, membuat ulang kaji dan mengikuti pelbagai aktiviti akademik dengan lebih mudah serta berkesan,” katanya di laman rasmi, semalam.
Beliau berkata, kebanyakan penerima pada tahun ini merupakan pelajar yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan penting seperti SPM dan STAM, sekali gus memerlukan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif dan sesuai dengan keperluan semasa.
“Dengan adanya kemudahan ini, saya berharap para pelajar dapat memanfaatkan teknologi yang ada untuk meningkatkan prestasi akademik dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang bakal diduduki,” ujarnya.
Tambahnya, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah masa depan seseorang, justeru usaha membantu pelajar mendapatkan kemudahan pembelajaran yang lebih baik akan terus diberi perhatian.
Beliau yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan turut berharap sumbangan yang disampaikan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para penerima sebagai alat untuk menimba ilmu, memperluas pengetahuan serta membina masa depan yang lebih cerah.
“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar dan memberi manfaat berpanjangan kepada para pelajar serta keluarga mereka,” katanya.











