YB Mohd Asri seru rakyat jadikan 1448 Hijrah medan perbanyak amal kebaikan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 18 Jun — Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menyeru masyarakat menjadikan tahun baharu 1448 Hijrah sebagai titik permulaan untuk memperbanyakkan amalan kebaikan dan perkara yang bermanfaat demi membina kehidupan yang lebih sejahtera, harmoni dan bersatu padu.
Beliau berkata, azam untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara mampu menjadi kunci kepada pembentukan komuniti yang kukuh serta saling menyokong antara satu sama lain.
“Ini kunci kepada hidup sejahtera dan harmoni seterusnya membuahkan perpaduan yang utuh dalam masyarakat,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Demit merasmikan Karnival Demit Sepakat (Karnival Riang Ria Komuniti dan Cakna Rakyat) yang berlangsung di perkarangan Pasar Tok Kenali, Binjai, semalam.
Dalam pada itu, YB Mohd Asri turut menegaskan bahawa semangat tolong-menolong dan kesepakatan dalam komuniti perlu terus diperkukuhkan dengan menjadikan hubungan kejiranan seperti sebuah keluarga yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.
Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya terlalu bergantung kepada pihak tertentu untuk menyelesaikan setiap masalah kecil yang berlaku dalam komuniti sekiranya ia mampu ditangani melalui kerjasama sesama jiran.
“Jika jiran sebelah rumah kehabisan gula dan kita mempunyai tiga kilogram gula, tidak perlu mengangkat permohonan kepada penghulu atau wakil rakyat, apatah lagi mengkritik mereka kerana lambat menghantar gula kepada rakyat.
“Sebaliknya, berilah kepadanya satu kilogram kerana ia dalam kemampuan kita dan menjadi sedekah yang diharapkan ganjarannya di sisi Allah,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan, nilai keprihatinan dan sikap saling membantu perlu terus disuburkan dalam kehidupan bermasyarakat bagi mewujudkan suasana yang lebih harmoni serta memperkukuh hubungan sesama anggota komuniti.
Karnival yang berlangsung dari pagi hingga petang itu diadakan di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Pusat Khidmat DUN Demit.
Pelbagai pengisian diadakan sepanjang program termasuk pameran, jualan, sesi taklimat, pertandingan Unit Daerah Mengundi (UDM), persembahan kebudayaan, sukaneka serta aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Antara agensi yang mengambil bahagian ialah MPKB-BRI, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Jabatan Penjara Malaysia Negeri Kelantan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), MARA Negeri Kelantan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Polis Daerah Kota Bharu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Bank Simpanan Nasional (BSN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan serta Hospital Raja Perempuan Zainab II menerusi program derma darah.













