Accessibility Tools

Skip to main content

UPKN–SPRM Kelantan bekerjasama, perkasa advokasi integriti rakyat

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 18 Jun – Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan memperkukuhkan kerjasama strategik dalam usaha memperkasa advokasi integriti serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tadbir urus yang baik dan pencegahan rasuah.

Perkara tersebut dizahirkan dalam sesi kunjung hormat UPKN ke pejabat SPRM Kelantan, hari ini, yang membuka ruang kepada kedua-dua pihak meneroka pelbagai bentuk kerjasama dalam aspek komunikasi, pendidikan dan penyampaian maklumat kepada rakyat.

Pengarah UPKN Razuan Awang Hamad berkata, pihaknya mengambil peluang memperkenalkan fungsi dan peranan UPKN sebagai agensi komunikasi strategik kerajaan negeri yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat berkaitan dasar, program dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.

Pengarah UPKN Razuan Awang Hamad

Menurutnya, UPKN kini sedang menyiarkan slot siaran langsung FOKUS melalui platform digital yang menampilkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan sebagai tetamu jemputan bagi memberi penerangan terus kepada rakyat mengenai skop tugas serta perkhidmatan yang ditawarkan.

“Program ini memberi peluang kepada agensi untuk menjelaskan fungsi dan peranan masing-masing kepada masyarakat. Kita juga berhasrat menjemput Pengarah SPRM Kelantan sebagai tetamu dalam slot FOKUS akan datang bagi berkongsi maklumat berkaitan integriti dan pencegahan rasuah,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri sentiasa menganjurkan program lapangan seperti Pentas Rakyat dan Cakna Rakyat yang melibatkan pelbagai agensi sebagai pempamer dan penceramah bagi mendekati masyarakat secara langsung.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengarah dan pegawai-pegawai SPRM Kelantan kerana sudi menerima kunjungan kami. Kolaboratif yang baik ini akan diteruskan dan diperkukuhkan pada masa hadapan demi manfaat rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk bersama-sama memperluaskan kefahaman masyarakat mengenai peranan SPRM.

Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff

“SPRM mengalu-alukan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Tiga fungsi utama SPRM ialah penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan.

“UPKN dan SPRM sama-sama menggembeleng tenaga menjalankan amanah untuk membina masyarakat yang lebih berintegriti dan beretika,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kelantan Najwa Mohd Sabry berkata SPRM turut memberi penerangan berkaitan pelaksanaan penyiasatan tatakelola yang merangkumi penelitian terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja sedia ada yang boleh diperkemaskan oleh setiap jabatan mahupun agensi dalam usaha ke arah mencapai tatakelola baik.

Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kelantan Najwa Mohd Sabry

Menurutnya, SPRM juga menyediakan khidmat nasihat kepada jabatan dan agensi bagi membantu menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta mengurangkan risiko ketirisan dan salah guna kuasa.

“Selain itu, kami sentiasa memberi penerangan kepada masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap syarikat atau individu yang terlibat dengan penipuan dan penyelewengan wang,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kelantan Wan Siti Junaida Ismail berkata pelbagai pendekatan digunakan bagi menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat termasuk melalui forum, debat dan persembahan kebudayaan.

Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kelantan Wan Siti Junaida Ismail

Tambahnya, SPRM turut bekerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan program pendidikan integriti.

“Kita mahu masyarakat memahami situasi yang boleh membawa kepada salah guna kuasa. Sebelum ini SPRM pernah bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan untuk menyampaikan mesej integriti melalui persembahan dikir barat, selain mengadakan taklimat kepada penggawa dan penghulu di seluruh Kelantan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!