Accessibility Tools

Skip to main content

Anak Tumpat dinobat Pelajar Terbaik STPM Kebangsaan 2025

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 18 Jun – Pelajar dari Tumpat Siti Maisarah Yahya Lotfi, mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Kejayaan tersebut melayakkan beliau menerima anugerah khas daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di Selangor, hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama keluarga pelajar berkenaan, bahkan mengangkat martabat sekolah dan dunia pendidikan negara.

Menurutnya, Siti Maisarah yang juga anak kepada Penghulu Mukim Berangan, Kelaboran Yahya Lotfi, telah membuktikan usaha gigih dan komitmen tinggi mampu menghasilkan pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan.

“Pencapaian yang amat membanggakan ini bukan sahaja mengharumkan nama keluarga, malah mengangkat martabat SMK Dato’ Biji Wangsa, Tumpat, Kelantan serta dunia pendidikan negara.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, disiplin yang tinggi, doa ibu bapa, bimbingan para guru serta pertolongan Allah SWT,” katanya menerusi di media sosial, hari ini.

Dato' Wan Roslan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor mengharapkan kejayaan dicapai Siti Maisarah dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan sahsiah.

Beliau turut mendoakan agar pelajar berkenaan terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan serta menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

“Tahniah sekali lagi. Teruskan melangkah gemilang ke puncak kecemerlangan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!