Kelantan tumpu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM 21 Jun — Kerajaan Negeri Kelantan terus memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat khususnya pasangan muda, penjawat awam, pekerja sektor swasta dan golongan berpendapatan sederhana selaras dengan Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) 2026.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, agenda perumahan yang dilaksanakan kerajaan negeri sebagai usaha membina keluarga sakinah, masyarakat berakhlak dan komuniti yang sejahtera.
Menurutnya, dalam Islam rumah merupakan institusi pembinaan insan dan madrasah pertama yang membentuk generasi masa hadapan," katanya di media sosial, pada Sabtu.
Terdahulu, YB Hilmi menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Showcase Residensi PR1MA Kubang Kerian, di sebuah pasaraya di Kota Bharu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AURI Teras Holdings Sdn Bhd dan Perbadanan PR1MA Malaysia atas komitmen berterusan dalam menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Kelantan.
Tambahnya, projek Residensi PR1MA Kubang Kerian yang sedang dibina merangkumi empat blok penginapan.
“Bagi Fasa 1, dua blok sedang dibangunkan dan tahap pembinaannya telah mencapai lebih 60 peratus siap. Dua blok ini menawarkan sebanyak 632 unit apartmen yang dijual pada harga bermula RM286,000,” jelasnya.
Katanya lagi, lokasi projek berkenaan dianggap strategik kerana terletak di belakang Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan hanya dipisahkan oleh Sungai Pengkalan Datu.
YB Hilmi mewakili kerajaan negeri berharap setiap projek perumahan yang dibangunkan di Kelantan mengutamakan amanah dan tanggungjawab sosial.
“Residensi PR1MA Kubang Kerian merupakan antara projek perumahan yang sangat berpotensi dan mempunyai nilai masa hadapan yang tinggi,” katanya.
Untuk rekod, Perbadanan PR1MA Malaysia ditubuhkan dengan objektif utama menyediakan kediaman berkualiti, selesa dan mampu dimiliki, khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana yang berdepan cabaran memiliki rumah sendiri di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Di bawah projek PR1MA, pembeli yang layak akan menerima subsidi sehingga 30 peratus daripada harga jualan.
















