Kolokium Tokoh-Tokoh Ketamadunan Islam 3.0 perkenal sumbangan tokoh besar Islam kepada generasi muda
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 21 Jun – Kolokium Tokoh-Tokoh Ketamadunan Islam 3.0 menjadi platform penting dalam memperkenalkan pemikiran, perjuangan dan sumbangan tokoh-tokoh besar Islam kepada generasi muda.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, program anjuran Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) itu memainkan peranan penting dalam menyemarakkan kefahaman terhadap sejarah dan ketamadunan Islam dalam kalangan golongan muda.
Menurutnya, kolokium berkenaan mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu serta pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri Kelantan.
“Penyertaan golongan muda dalam program berteraskan ilmu seperti ini amat penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan memahami sejarah dan ketamadunan Islam yang menjadi asas pembinaan ummah,” tegasnya di media sosial, pada Sabtu.
Beliau berharap segala ilmu, pandangan dan perkongsian yang diperoleh sepanjang kolokium itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para peserta.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Kolokium Tokoh-Tokoh Ketamadunan Islam 3.0 Tahun 2026 di Gelanggang Seni, Kota Bharu.
Katanya, program seumpama itu wajar diteruskan sebagai medan untuk menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh jati diri serta melahirkan generasi yang berfikiran kritis, berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.
“Semoga program sebegini terus menjadi wadah yang memberi manfaat kepada generasi muda serta memperkukuhkan penghayatan terhadap sejarah dan ketamadunan Islam,” ujarnya.
















