Delegasi Indonesia kagumi pendekatan pentadbiran Islam Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 21 Jun – Pendekatan pentadbiran Islam yang dilaksanakan di Kelantan menarik perhatian delegasi dari Nunukan, Indonesia yang mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud di Kediaman Menteri Besar JKR 10, di sini, semalam.
Rombongan yang diketuai Ketua Kaukus Perempuan Politik Indonesia (KPPI) Robiyanti Karim Yakub itu hadir bagi mendalami pelbagai aspek pentadbiran negeri yang berteraskan dasar Membangun Bersama Islam termasuk pelaksanaan syariat, pembangunan masyarakat, kebajikan rakyat dan pemerkasaan wanita.
Sehubungan itu, Dato' Mohd Nassuruddin berkata Kelantan dibina atas asas pemerintahan Islam yang menjadikan pengabdian kepada Allah SWT sebagai teras dalam setiap dasar dan tindakan kerajaan negeri.
Delegasi dari Nunukan, Indonesia
Menurutnya, matlamat utama kehidupan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT dan prinsip itu turut diterjemahkan dalam pentadbiran negeri.
“Apabila kita berpolitik, kita juga perlu mengabdikan diri kepada Allah. Kalau ada pemerintahan tetapi tiada asas Islam maka kerajaan akan runtuh. Apa yang Islam suruh kita buat, kita buat dan apa yang Islam larang, kita tidak benarkan berlaku di negeri Kelantan,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Beliau berkata antara dasar yang menjadi identiti Kelantan ialah pelaksanaan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu bagi memberi ruang kepada rakyat menunaikan tuntutan agama, menghadiri majlis ilmu serta meluangkan masa bersama keluarga.
Katanya lagi, Kelantan merupakan negeri pertama yang memperkenalkan cuti dua hari seminggu sebelum langkah tersebut diikuti Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri lain.
“Jumaat ialah hari kebesaran Islam dan hari menuntut ilmu, manakala Sabtu pula hari bersama keluarga. Sebab itu majlis-majlis ilmu diadakan di seluruh negeri, bukan sahaja di Medan Ilmu tetapi juga di masjid dan surau seluruh Kelantan,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk bantuan beras Al-It’am kepada golongan miskin, Skim Kifaalah yang menyediakan bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM1,000 kepada warga emas berusia 55 tahun ke atas serta Skim Az-Ziwaaj sebanyak RM1,000 kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga buat kali pertama.
Menteri Besar Kelantan juga menjelaskan, pembangunan wanita sentiasa diberi perhatian menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa).
Menurutnya, wanita memainkan peranan besar dalam membentuk keluarga dan melahirkan generasi yang berkualiti.
“Orang perempuan ialah ibu kepada pemimpin. Jika kita berjaya membentuk para ibu, insya Allah kita dapat mendidik masyarakat dan melahirkan generasi yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Robiyanti Karim Yakub, 50 merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan kepada delegasi Nunukan sepanjang dua hari lawatan mereka ke Kelantan pada 19 dan 20 Jun.
Beliau berkata lawatan tersebut memberi peluang kepada rombongan untuk melihat sendiri bagaimana nilai agama diterapkan dalam pentadbiran negeri serta kehidupan masyarakat.
“Sangat luar biasa kami dapat hadir ke Kelantan dan mempelajari banyak perkara yang baik. Kami melihat bagaimana masyarakat di sini diberi pengetahuan agama dan bagaimana wanita dididik untuk mengurus keluarga serta membesarkan anak-anak,” katanya.
Menurutnya, antara perkara yang paling menarik perhatian delegasi ialah pengisian ilmu agama yang diadakan secara meluas setiap hari Jumaat di seluruh negeri.
Katanya, segala pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang lawatan itu akan dibawa pulang untuk dikongsi dan dijadikan rujukan dalam usaha memperkasakan masyarakat di Nunukan.
“Dengan masa yang singkat ini kami dapat memaksimumkan lawatan ke banyak tempat dan mempelajari pelbagai perkara yang bermanfaat. Insya Allah apa yang kami pelajari di Kelantan akan kami bawa pulang ke daerah kami,” ujarnya.












