Accessibility Tools

Skip to main content

Usahawan perlu bangkit dan berjaya bersama – YB Zamakhshari

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 21 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan menekankan kepentingan usaha pemerkasaan usahawan secara menyeluruh dan inklusif bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, pembangunan ekonomi mesti bersifat inklusif untuk semua lapisan masyarakat bagi memastikan setiap usahawan mendapat peluang yang adil untuk berkembang tanpa mengira latar belakang.

“Pembangunan ekonomi mesti bersifat inklusif untuk semua lapisan, di mana setiap lapisan usahawan di bumi Kelantan ini mampu bangkit dan berjaya bersama-sama ,” katanya di laman rasmi, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program MAICCI MUDRA Roadshow (Kelantan) yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu, pada 19 Jun.

Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan ekosistem keusahawanan di Kelantan terus berkembang secara seimbang dan mampan.

Program anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) itu merupakan inisiatif bagi mendekatkan Program pemerkasaan ekonomi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kepada para usahawan khususnya komuniti India di negeri ini.

"Dengan peruntukan RM220 juta di bawah Pakej Modal Usahawan India dan Rangsangan Ekonomi 2026, agenda ini bukan sekadar memberi pembiayaan, bahkan membuka akses, pemerkasaan, dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang buat PMKS" ujarnya.

Menurutnya lagi, usaha tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek pembiayaan, tetapi turut merangkumi akses, pemerkasaan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Presiden MAICCI Datuk Dr. A.T. Kumararajah, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kelantan (KICCI) B. Jayabalan serta wakil-wakil agensi pembiayaan dan institusi kewangan termasuk SME Bank, TEKUN Nasional, SME Corp, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Pautan berjaya disalin!

Baca Yang Lain