Accessibility Tools

Skip to main content

Bapa bina rumah, bina manusia - Dato' Rohani

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 21 Jun - Seorang bapa berperanan menyediakan keperluan material untuk keluarga dan bertanggungjawab dalam membentuk peribadi dan akhlak anak-anak.

Demikian kenyataan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato' Rohani Ibrahim melalui media sosial sempena sambutan hari bapa, hari ini.

Beliau menegaskan, dalam konsep Keluarga Mawaddah ayah berperanan sebagai pemimpin yang memandu keluarga ke arah ketaatan kepada Allah SWT, selain menjadi pendidik yang membentuk akhlak anak-anak serta pelindung yang memastikan kesejahteraan keluarga sentiasa terpelihara.

Menurutnya, kehadiran seorang bapa tidak seharusnya diukur berdasarkan kemampuan menyediakan keperluan material semata-mata tetapi melalui contoh teladan, bimbingan dan nilai-nilai Islam yang diterapkan dalam jiwa anak-anak.

“Anak-anak mungkin lupa apa yang kita berikan tetapi mereka akan sentiasa mengingati siapa yang membimbing mereka,” jelasnya.

Mengulas lanjut beliau menekankan, peranan bapa perlu terus diperkukuh dalam institusi keluarga bagi memastikan pembentukan generasi yang berakhlak, berilmu dan berdaya tahan.

Katanya lagi, keluarga yang kukuh menjadi asas penting dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera dan mampu menghadapi cabaran semasa.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat untuk terus memperkasakan peranan ayah dalam keluarga selaras dengan matlamat membina institusi keluarga yang harmoni dan berteraskan nilai Islam.

Untuk rekod, Hari Bapa disambut pada hari Ahad ketiga bulan Jun setiap tahun. Di Malaysia, sambutan tahun ini diraikan pada 21 Jun yang membawa tema "Sehebat Kasih Bapa" bagi menghargai jasa, pengorbanan, dan pelindung keluarga.

Pautan berjaya disalin!