Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan hargai PNB naik taraf Hotel Perdana

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Tourism Kelantan

KOTA BHARU, 22 Jun- Kerajaan Negeri Kelantan menghargai langkah strategik Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam menaik taraf Hotel Perdana menerusi pelaburan, penambahbaikan serta pengurusan profesional yang dilaksanakan sejak mengambil alih dan menguruskan hotel berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, komitmen dan visi jangka panjang yang ditunjukkan oleh PNB bersama Attana Hotels & Resorts berjaya mengembalikan semula kedudukan Hotel Perdana sebagai antara hotel utama dan paling berprestij di Kelantan.

Katanya, kejayaan yang dicapai hotel itu hari ini membuktikan aset warisan boleh diberikan nafas baharu tanpa kehilangan identiti asalnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan, saya merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada PNB serta Attana Hotels & Resorts atas kejayaan mengembalikan kedudukan Hotel Perdana sebagai antara Hotel utama yang berprestij di Kelantan.

“Kita amat menghargai langkah strategik PNB menaik taraf hotel ini dengan komitmen serta visi jangka panjang yang jelas."

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perasmian dan Meraikan Transformasi dan Pembaharuan Hotel Perdana, di sini semalam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Permodalan Nasional Berhad Hanizan Hood.

Menurut YB Hilmi lagi, antara keunikan Hotel Perdana ialah identitinya yang kekal menonjolkan ciri-ciri negeri Kelantan dan tidak cuba meniru konsep hotel lain dalam membuat tranformasi.

Katanya, sebaik sahaja pengunjung melangkah masuk ke perkarangan hotel, mereka dapat melihat unsur seni bina, motif ukiran, penggunaan elemen tradisional, warna-warna lembut serta sentuhan budaya yang begitu sinonim dengan negeri itu.

“Fasa pembangunannya membawa identiti tempatan, manakala ruang dalamannya mempamerkan kehalusan seni warisan. Motif ukiran dan dekorasinya pula mengangkat keunikan budaya Melayu Kelantan,” katanya.

Tambahnya, pihak pengurusan hotel telah melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan pembaharuan melibatkan pelbagai ruang utama hotel sepanjang tempoh enam bulan lalu.

Daripada keseluruhan 270 bilik yang tersedia, sebanyak 189 bilik telah diperbaharui, manakala ruang lobi diberikan wajah lebih moden dan mesra pelanggan.

Selain itu, kapasiti tempat duduk di Cerana Restaurant turut ditingkatkan daripada 180 kepada 300 orang bagi memenuhi keperluan pelanggan.

“Ini menunjukkan kesungguhan pihak pengurusan dalam meningkatkan pengalaman pelanggan sejajar dengan kehendak pelancongan masa kini.

“Namun yang lebih penting, transformasi ini tidak mengorbankan identiti Kelantan. Sebaliknya, unsur budaya dan warisan terus dikekalkan serta diketengahkan dalam reka bentuk baharu.

“Inilah pendekatan yang amat kita hargai, maju tanpa kehilangan jati diri, berubah tanpa melupakan akal budi,” katanya.

Pautan berjaya disalin!