Hotel Perdana rakan strategik kerajaan negeri bangunkan pelancongan Kelantan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
KOTA BHARU, 22 Jun– Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Hotel Perdana atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam menjayakan pelbagai program pelancongan dan promosi negeri, termasuk sepanjang penganjuran Tahun Melawat Kelantan pada tahun lalu.
“Hotel Perdana merupakan contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam membangunkan ekonomi pelancongan."
Demikian kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah ketika berucap di majlis Perasmian dan Meraikan Transformasi dan Pembaharuan Hotel Perdana, di sini semalam.
Beliau berkata, hotel berkenaan memainkan peranan penting sebagai hos kepada pelbagai persidangan, seminar, program korporat, acara pelancongan dan lawatan rasmi yang membantu memperkenalkan Kelantan kepada pelawat domestik serta antarabangsa.
Tambahnya, kejayaan sektor pelancongan tidak hanya bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada semua pemain industri termasuk hotel, pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan, peniaga dan komuniti setempat.
Menurut YB Hilmi, Kelantan mempunyai pelbagai kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak negeri lain, terutama warisan budaya yang kaya dan menjadi identiti negeri itu.
Katanya, antara khazanah budaya yang menjadi tarikan ialah dikir barat, wayang kulit, makyung, seni ukiran kayu, batik, songket, seni mempertahankan diri tradisional serta pelbagai makanan warisan.
Tambah beliau, pelancongan masa depan bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan moden dan pusat beli-belah, sebaliknya lebih menjurus kepada nilai warisan, cerita dan pengalaman yang dapat dinikmati pelancong.
Sehubungan itu, beliau berharap Hotel Perdana terus menjadi antara platform utama dalam memperkenalkan budaya dan warisan Kelantan kepada masyarakat dunia.
“Biarlah setiap pelancong yang menginap di sini pulang bukan sahaja dengan kenangan sebuah hotel yang selesa, tetapi juga dengan pengalaman menghayati keindahan budaya masyarakat Kelantan yang terkenal dengan sifat mesra, sopan dan menghormati tetamu.
“Dalam budaya Melayu dan Islam yang menjadi tunjang negeri ini, memuliakan tetamu adalah sebahagian daripada akhlak dan ibadah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil berkata, Hotel Perdana berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi antara pintu masuk utama kepada pengalaman pelancongan di Kelantan.
“Dengan kemudahan yang telah dinaik taraf, lokasi yang strategik, perkhidmatan yang berkualiti dan identiti budaya yang kukuh, saya yakin hotel ini mampu menjadi pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada usaha yang dapat memperkukuhkan industri pelancongan dan hospitaliti demi manfaat ekonomi rakyat serta pembangunan negeri secara keseluruhan.
Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada PNB serta semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sektor hospitaliti dan pelancongan negeri.
Katanya, Hotel Perdana diharap terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan warisan, budaya dan keindahan Kelantan di peringkat antarabangsa serta menjadi lambang keramahan rakyat negeri itu.
“Harapan besar kerajaan negeri dan seluruh rakyat Kelantan ialah supaya Hotel Perdana terus menjadi ikon hospitaliti dan pintu utama menyambut kedatangan pelancong serta pengunjung domestik dan antarabangsa ke Kelantan,” jelasnya.












