Accessibility Tools

Skip to main content

Suasana Islam di Kelantan hadirkan rasa rindu Ramadan – Bunga Farida

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 22 Jun – Suasana kehidupan Islam yang begitu terserlah di Kelantan telah menghadirkan rasa rindu kepada bulan Ramadan buat Bendahari Kaukus Perempuan Politik Indonesia (KPPI) Kabupaten Nunukan, Bunga Farida yang pertama kali menjejakkan kaki ke negeri ini.

Beliau berkata, identiti Islam yang dapat dilihat di pelbagai sudut kehidupan masyarakat Kelantan memberikan pengalaman yang cukup bermakna sepanjang lawatan delegasi KPPI Nunukan ke negeri ini pada 19 hingga 20 Jun yang lalu.

“Suasana Islamiknya sangat terasa. Sejak malam tadi ketika menaiki bas, saya dapat melihat pelbagai elemen dan tulisan yang bernuansa Islam. Ia membuatkan saya teringat dan merindui suasana Ramadan."

Bunga Farida

Bunga Farida berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan delegasi Kesatuan Perempuan Partai Kebangkitan Bangsa Indonesia (KPPI) Kabupaten Nunukan yang diketuai Robiyanti Karim Yakub ke beberapa lokasi utama di Kelantan.

Lawatan tersebut melibatkan seramai 11 orang delegasi dan sepanjang lawatan, rombongan dibawa melawat Medan Ilmu Kota Bharu, Istana Balai Besar, Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung, RS Serunding, Laman Warisan Kampung Laut serta menghadiri pertemuan bersama Menteri Besar Kelantan dan isteri di kediaman rasmi Menteri Besar.

Menurut Bunga Farida, program Medan Ilmu yang dianjurkan secara terbuka kepada masyarakat memberi gambaran jelas mengenai pentingnya budaya menuntut ilmu tanpa mengira usia.

“Di Medan Ilmu, saya melihat bagaimana masyarakat dididik bahawa pencarian ilmu perlu diteruskan sepanjang hayat. Ini adalah satu pendekatan yang sangat baik dalam membina akhlak dan sahsiah rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan lawatan ke Istana Balai Besar sebagai satu pengalaman yang amat berharga apabila rombongan mereka menerima layanan mesra dan penuh penghormatan daripada pihak istana.

“Ini suatu kebanggaan buat kami. Kami disambut dengan sangat baik dan diberikan layanan yang cukup mesra. Saya bersyukur dipertemukan dengan ramai insan yang baik sepanjang berada di Kelantan,” jelasnya.

Selain tertarik dengan suasana Islam dan budaya ilmu, Bunga turut memuji keunikan makanan tradisional Kelantan yang sempat dinikmati sepanjang lawatan.

Katanya, hidangan seperti lokan bakar dan akok memberikan pengalaman gastronomi yang berbeza serta mencerminkan kekayaan warisan makanan negeri itu.

Ketua KPPI Kabupaten Nunukan Robiyanti Karim Yakub

Sementara itu, Ketua KPPI Kabupaten Nunukan Robiyanti Karim Yakub berkata lawatan berkenaan merupakan kunjung balas kepada lawatan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud ke Nunukan beberapa bulan lalu.

Menurutnya, Kelantan yang dikenali sebagai Serambi Mekah sememangnya menampilkan suasana kehidupan Islam yang kuat dan boleh dijadikan inspirasi dalam usaha memperkukuh pembangunan masyarakat di Kabupaten Nunukan.

“Kedatangan kami disambut dengan baik dan memberikan banyak pengalaman serta pengetahuan baharu. Kami berharap hubungan yang terjalin ini dapat diteruskan melalui pelbagai bentuk kerjasama pada masa hadapan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!