Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim


Hapus stigma, buka peluang lebih luas buat golongan OKU – Dato' Rohani

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Dato' Rohani

KOTA BHARU, 22 Jun – Usaha menghapuskan stigma negatif terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) serta membuka lebih banyak peluang kepada mereka merupakan langkah penting dalam memastikan golongan berkenaan dapat mengembangkan potensi sebenar, sekali gus menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan inklusif dalam arus pembangunan masyarakat.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, setiap individu dalam kalangan OKU mempunyai keistimewaan tersendiri yang wajar dihargai serta diberikan ruang yang adil untuk turut serta dalam pembangunan negeri dan masyarakat.

Beliau berkata demikian setelah merasmikan Kursus Pengukuhan Organisasi Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) yang menghimpunkan penggerak OKU dari seluruh Kelantan di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Menurutnya, tanggungjawab bersama bukan sekadar menyediakan kemudahan asas, malah turut merangkumi usaha memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap kemampuan sebenar golongan OKU.

“Komuniti OKU mempunyai keistimewaan sendiri. Tanggungjawab kita ialah membuka peluang dan menghapus stigma masyarakat serta memperkukuh kefahaman agar mereka dapat menyerlahkan potensi sebenar mereka,” katanya di laman rasmi pada 16 Jun.

Dato' Rohani turut berharap agar kursus berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam memperkasakan kompetensi serta memperkukuh peranan penggerak OKU di seluruh negeri.

Katanya, usaha tersebut selaras dengan aspirasi Dasar OKU Muqarrabun yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh bagi melahirkan golongan OKU yang berilmu, bertakwa dan berakhlak mulia.

"Kursus selama dua hari bermula 16 hingga 17 Jun ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama penggerak OKU di seluruh Kelantan" ujarnya.

Pautan berjaya disalin!