Accessibility Tools

Skip to main content

38 pegawai masjid Kelantan terima Sijil Kemahiran Malaysia

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 22 Jun – Sebanyak 38 pegawai masjid di Kelantan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas berjaya menamatkan kursus masing-masing dalam satu majlis graduasi yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Majlis pengurniaan sijil tersebut disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Daripada 38 graduan tersebut, 22 peserta menerima sijil Kursus Pengoperasian Masjid Tahap 1 dan 16 lagi menerima sijil Kursus Penyelarasan Operasi Masjid Tahap 2. Manakala berikutnya, seramai 16 peserta daripada graduan tersebut bakal mengikuti kursus Tahap 3.

YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam berkata, program SKM untuk pegawai masjid dilaksanakan oleh MAIK dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz

Beliau berkata, program yang diadakan itu mencerminkan komitmen berterusan MAIK dalam memperkasa pembangunan modal insan ummah melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pembangunan kemahiran, keilmuan dan penghayatan al-Quran.

Jelasnya lagi, program berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pegawai masjid dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan dalam mengurus institusi masjid secara lebih profesional, sistematik dan berkesan.

“Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kompetensi pegawai masjid, memberikan pendedahan kepada sistem latihan berasaskan standard kemahiran kebangsaan serta menyediakan laluan pengiktirafan kemahiran yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran."

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Program Murajaah Hafazan Al-Quran MAIK Tahun 2025, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya lagi, MAIK merupakan majlis agama Islam negeri terawal di Malaysia yang mengambil langkah proaktif melaksanakan Program Akademi Dalam Industri (ADI) bagi memperkasa kompetensi dan profesionalisme petugas masjid dengan kerjasama JPK.

Tambahnya, program itu menggunakan modul latihan berasaskan National Occupational Skills Standard (NOSS) yang diiktiraf oleh JPK.

“Melalui pendekatan ini, peserta diberikan pendedahan kepada standard kemahiran kebangsaan yang jelas, tersusun dan menepati keperluan semasa,” ujarnya.

Beliau berkata, keseluruhan latihan dikendalikan oleh tenaga pengajar bertauliah yang diperakui oleh JPK.

“Ini menunjukkan kesungguhan pihak MAIK untuk memastikan setiap latihan yang dilaksanakan mempunyai nilai tambah dan pengiktirafan yang boleh memberi manfaat jangka panjang kepada para peserta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan sepanjang mengikuti latihan berkenaan.

“Kejayaan yang dicapai hari ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada usaha saudara-saudari, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pengurusan dan pengimarahan masjid di negeri Kelantan,” tegasnya.

Dalam majlis tersebut, dua peserta terbaik program SKM iaitu Mohamad Nasharudin Hashim dan Wan Abdul Majid Wan Shukri menjunjung kurniaan berupa sijil dan cek cura bernilai RM 500 setiap seorang.

Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YB Sahibul Samahah Dato' Kaya Perba Dato' Mohamad Shukri Mohamad, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Dato' Ibrahim Deris, Timbalan YDP MAIK, Dato' Mohd Anis Hussin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dr Hasnan Ramli dan wakil JPK, Asri Mat Abdul Malik.

Pautan berjaya disalin!