Kelantan zahir dukacita atas kemangkatan puteri sulung Raja Thailand
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Zamakhshari
KOTA DARULNAIM, 23 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan rasa dukacita susulan kemangkatan Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, puteri sulung Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad berkata, beliau hadir ke Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Kota Bharu sebagai wakil kepimpinan Kerajaan Negeri bagi menyempurnakan upacara menandatangani buku takziah susulan perkhabaran sedih yang menimpa negara jiran itu.
Menurut beliau, Puteri Bajrakitiyabha atau lebih dikenali sebagai Puteri Pha dilaporkan mangkat pada 11 Jun lalu selepas dimasukkan ke hospital hampir empat tahun.
Katanya, mendiang merupakan seorang anakanda diraja yang aktif memainkan peranan penting dalam urusan awam dan kebajikan rakyat, selain pernah dianugerahkan pangkat Jeneral Tentera atas jasa serta sumbangannya.
“Mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri dan rakyat Kelantan, saya menzahirkan rasa dukacita kepada seluruh ahli keluarga diraja Thailand, pihak konsulat serta rakyat Thailand atas kehilangan tokoh yang amat dihormati,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Isnin.
Beliau turut berharap agar seluruh kerabat diraja diberikan ketabahan, kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
Tambah YB Zamakhshari, kunjungan hormat dan ziarah takziah itu bukan sekadar memenuhi protokol rasmi, malah mencerminkan hubungan akrab serta ikatan diplomatik yang telah lama terjalin antara Kelantan dan Thailand sebagai negara jiran yang dekat.
Beliau berharap hubungan persahabatan, kebersamaan dan kerjasama antara kedua-dua pihak akan terus terpelihara dan kekal utuh demi kesejahteraan serantau.










