Permohonan Anugerah Kecemerlangan STPM 2025 dibuka, penghargaan kepada pelajar cemerlang
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 23 Jun - Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) membuka permohonan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan STPM 2025 sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, anugerah berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri untuk mengiktiraf pencapaian akademik pelajar serta menggalakkan budaya kecemerlangan ilmu dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, permohonan telah dibuka bermula 21 Jun dan akan ditutup pada 24 Jun 2026 pada jam 12.30 tengah hari.
“Anugerah ini diwujudkan sebagai penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan STPM 2025 serta sebagai galakan kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
“Ia juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasakan agenda pendidikan dan membudayakan kecemerlangan akademik dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad lalu.
Beliau berkata, anugerah tersebut terbuka kepada calon yang memperoleh keputusan 4A dalam peperiksaan STPM 2025 serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Tambahnya lagi, usaha mengiktiraf kecemerlangan akademik merupakan antara pendekatan penting dalam melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, penghargaan kepada pelajar cemerlang bukan sekadar mengiktiraf kejayaan yang dicapai, malah menjadi suntikan motivasi kepada generasi muda untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Kita berharap lebih ramai pelajar akan terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan memanfaatkan peluang yang disediakan melalui pelbagai inisiatif pendidikan kerajaan negeri,” katanya.
Menurutnya, kategori permohonan melibatkan anak kelahiran Kelantan termasuk mereka yang menduduki peperiksaan di luar negeri, selain calon bukan kelahiran Kelantan yang menduduki peperiksaan di negeri ini.
“Peluang ini diberikan kepada semua calon yang layak tanpa mengira lokasi mereka menduduki peperiksaan, selagi memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur,” katanya.
YB Dato’ Wan Roslan berkata, pelajar yang memenuhi syarat kelayakan digalakkan mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan proses penilaian dan pengiktirafan dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, borang permohonan boleh diperoleh di Pejabat Yayasan Islam Kelantan menerusi Kaunter Khidmat Pelanggan atau dimuat turun melalui laman rasmi YIK.
Beliau berkata, borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan di Lebuhraya Tunjong–Pasir Mas, Kota Bharu pada waktu pejabat.
“Calon-calon yang layak dinasihatkan supaya memastikan semua dokumen dan maklumat yang diperlukan dilengkapkan sebelum tarikh tutup permohonan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Permohonan yang dikemukakan dalam tempoh ditetapkan akan membantu melancarkan urusan semakan dan penyelarasan oleh pihak Yayasan Islam Kelantan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu menyebarkan hebahan tersebut kepada calon-calon yang layak agar tiada pelajar yang tercicir daripada memohon anugerah berkenaan.
Menurutnya, penyebaran maklumat yang meluas akan memastikan lebih ramai pelajar cemerlang mendapat peluang menerima pengiktirafan yang sewajarnya atas pencapaian mereka dalam peperiksaan STPM 2025.








