Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan satu-satunya negeri laksana Program Murajaah Hafazan Al-Quran secara tersusun

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Ustaz Asri Daud

KOTA BHARU, 23 Jun - Kelantan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan Program Murajaah Hafazan Al-Quran secara tersusun dan menyeluruh menerusi inisiatif yang digerakkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Yang Dipertua MAIK, YBM Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi mewujudkan suasana dan budaya cintakan al-Quran dalam kalangan masyarakat, selain menyediakan ruang kepada para penghafaz al-Quran mengulang serta mengekalkan hafalan mereka secara berterusan.

Menurut beliau, program itu dilaksanakan di masjid-masjid terpilih menerusi penggunaan Modul Murajaah Hafazan Al-Quran MAIK yang digubal dan dibangunkan oleh Jawatankuasa Panel Penilai Program Insentif Huffaz Al-Quran MAIK.

"Modul ini dibangunkan di bawah pimpinan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YB Sahibul Samahah Dato' Kaya Perba Dato' Mohamad Shukri Mohamad  bersama para pakar dalam bidang al-Quran.

"Program ini amat istimewa dan membanggakan kerana setakat ini Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan program seumpama ini secara tersusun dan menyeluruh."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Program Murajaah Hafazan Al-Quran MAIK Tahun 2025 di sebuah hotel di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, YBM Tengku Mohamad Rizam mengurniakan Sijil Anugerah Masjid Mesra Huffaz Al-Quran sebagai tanda penghargaan kepada 35 buah masjid yang terpilih sebagai lokasi pelaksanaan Program Murajaah Hafazan al-Quran 2025.

Beliau turut mengurniakan sumbangan kebersihan dan keceriaan masjid berupa wang tunai berjumlah RM3,000 kepada  setiap masjid di seluruh Kelantan dengan jumlah keseluruhan RM1.794 juta.

Program Murajaah Hafazan al-Quran MAIK dilaksanakan bermula Mei 2025 hingga April 2026 di 35 masjid terpilih di seluruh Kelantan dengan bimbingan 35 pembimbing yang terdiri daripada penerima Insentif Huffaz Al-Quran MAIK 2025.

Menurut YBM Tengku Mohamad Rizam lagi, kejayaan program tersebut membuktikan kesungguhan peserta dan pembimbing, selain memperlihatkan peranan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ilmu, pembinaan sahsiah dan pemupukan budaya al-Quran dalam masyarakat.

Beliau berkata, MAIK akan terus komited melaksanakan program seumpama itu secara berterusan bagi memastikan pembangunan ummah dapat diperkukuhkan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Akademi Latihan Al-Muhammadi (ALAMi), para pembimbing, pihak masjid, peserta serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

"Semoga segala usaha yang dilaksanakan menjadi asbab kepada pembangunan ummah yang berilmu, berkemahiran dan berpegang teguh kepada ajaran al-Quran," katanya.

Pautan berjaya disalin!