Accessibility Tools

Skip to main content

Sistem politik perlu lebih adil, capai sasaran 30 peratus wanita - Dato' Mumtaz

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Dato' Mumtaz

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Reformasi sistem politik yang lebih adil, inklusif dan mesra wanita perlu dilaksanakan bagi memastikan sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam politik negara dapat dicapai secara berkesan.

Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi berkata, usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam politik tidak seharusnya tertumpu kepada angka semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembaharuan menyeluruh yang mampu menghapuskan pelbagai halangan struktur dan sistemik yang menghalang wanita daripada mencapai kedudukan kepimpinan.

Menurutnya, wanita merupakan hampir separuh daripada penduduk negara dan memainkan peranan besar dalam institusi keluarga, pendidikan, ekonomi, sektor profesional, perkhidmatan awam serta pembangunan masyarakat.

"Persoalan sebenar hari ini bukan sekadar bagaimana kita menambah bilangan wanita dalam Parlimen, tetapi bagaimana kita memastikan wanita mampu mempengaruhi dan menguasai dasar negara secara berkesan dan berterusan," katanya ketika membahaskan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat berhubung Kesaksamaan Gender Dalam Politik Malaysia: Ke Arah Sasaran 30 Peratus Penglibatan Wanita di Malaysia di Dewan Rakyat pada 22 Jun.

Beliau menjelaskan, antara cabaran utama yang perlu ditangani ialah proses pencalonan dalam parti politik yang masih didominasi oleh struktur kepimpinan lelaki, selain budaya penyandang yang mengehadkan peluang kepada calon wanita baharu.

Katanya, akses yang tidak seimbang kepada jaringan politik, peluang pendedahan awal serta ketiadaan mekanisme latihan dan bimbingan yang tersusun turut menjadi faktor yang menyukarkan kemunculan lebih ramai pemimpin wanita.

Dato' Mumtaz turut menegaskan bahawa kos politik yang semakin tinggi menjadi antara penghalang terbesar kepada penyertaan wanita dalam pilihan raya dan kepimpinan politik.

"Ramai wanita bukan tidak mahu bertanding. Mereka tidak mampu dan tidak berpeluang bertanding," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pelaksanaan reformasi pembiayaan politik termasuk penyediaan dana khusus bagi kempen pilihan raya, pembiayaan tahunan kepada calon wanita yang berjaya serta insentif kepada parti politik yang meningkatkan pencalonan wanita.

Beliau turut menggesa supaya Kod Tatakelakuan Parlimen berkaitan gangguan dan diskriminasi diwujudkan bagi menangani budaya politik toksik, gangguan seksual, diskriminasi gender, buli siber dan penghinaan berasaskan jantina.

Selain itu, beliau mencadangkan latihan sensitiviti gender dan kepimpinan inklusif diwajibkan kepada Ahli Parlimen, senator serta pegawai Parlimen bagi mewujudkan persekitaran politik yang lebih profesional dan menghormati kepelbagaian.

Mengulas mengenai wanita luar bandar, beliau berkata perhatian khusus perlu diberikan kepada golongan tersebut agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan kepimpinan negara.

"Ukuran sebenar kejayaan bukanlah apabila kita mempunyai 30 peratus wanita dalam politik. Ukuran sebenar kejayaan ialah apabila wanita dari kampung, dari keluarga B40 dan dari kawasan pedalaman turut mempunyai laluan yang adil untuk menjadi pemimpin negara," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan Pelan Pembangunan Kepimpinan Wanita Nasional yang memberi fokus kepada wanita luar bandar, FELDA, sektor pertanian, komuniti nelayan, NGO dan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, sasaran 30 peratus wanita dalam politik perlu dilihat sebagai usaha memperluaskan peluang dan pembangunan bakat, bukannya sekadar memenuhi kuota.

"Saya ingin menegaskan bahawa cabaran terbesar wanita Malaysia hari ini bukanlah kerana mereka kurang berkebolehan untuk memimpin, tetapi kerana sistem politik kita masih belum cukup matang untuk menerima kepimpinan mereka secara adil," katanya.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan sebuah sistem politik yang adil dan berintegriti agar lebih ramai wanita berkualiti mampu tampil memimpin negara serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara secara menyeluruh.

Pautan berjaya disalin!