Pemukiman wakil rakyat Kelantan perkukuh gerak kerja demi kesejahteraan rakyat
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 24 Jun - Program Pemukiman Wakil-Wakil Rakyat Negeri Kelantan 2026 yang menghimpunkan Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Ahli Parlimen Kelantan menjadi medan menyatukan fikrah, memperkukuh gerak kerja serta meningkatkan iltizam dalam melaksanakan amanah demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri Kelantan.
Demikian kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Pemukiman tersebut berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud
Katanya, wakil rakyat perlu membuat persediaan bagi menghadapi persidangan Parlimen yang sedang berlangsung serta Sidang Dewan Negeri yang bakal diadakan supaya setiap isu dan keperluan rakyat dapat dibawa serta diperjuangkan dengan sebaik-baiknya.
“Pentingnya wakil rakyat menjaga hubungan dengan rakyat agar perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, tersusun dan menyeluruh,” jelasnya menerusi media sosial, pada Selasa.
Menurutnya, program itu turut menjadi platform untuk memperkukuh kesepaduan dalam kalangan wakil rakyat bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menyifatkan program pemukiman berkenaan sebagai ruang untuk melakukan koreksi terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan serta mencambah idea bagi tujuan penambahbaikan.
“Semoga hasil pemukiman akan membuahkan penambahbaikan pentadbiran kerajaan negeri ke arah yang lebih baik, insya-Allah,” katanya di media sosial pada 23 Jun.
Program Pemukiman yang diurusetiakan oleh Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK), pejabat Menteri Besar Kelantan ini diadakan bagi memberikan ruang koreksi Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan dan mencambah idea penambahbaikan untuk kelancaran dan kesejahteraan rakyat.












