Fahami Perkara 11(4) perlembagaan sebelum bahas isu kebebasan beragama – YB Nik Bahrum
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: YB Nik Bahrum
KOTA DARULNAIM, 24 Jun – Masyarakat perlu memahami kandungan sebenar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan sebelum membahaskan isu kebebasan beragama agar perbincangan yang berlangsung berasaskan fakta dan kerangka undang-undang negara.
Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, kebelakangan ini semakin ramai memperkatakan mengenai kebebasan beragama namun tidak semua meneliti keseluruhan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sehingga timbul dakwaan bahawa penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam merupakan hak yang dilindungi sepenuhnya oleh Perlembagaan.
Menurutnya, Perkara 11 sememangnya menjamin kebebasan setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing namun Perkara 11(4) turut memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan bagi Wilayah Persekutuan undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama kepada orang yang menganuti agama Islam.
“Dengan kata lain, kuasa untuk mengawal atau menyekat penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam bukanlah sesuatu yang diwujudkan kemudian oleh kerajaan atau mahkamah sebaliknya telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri,” katanya menerusi laman rasmi pada Sabtu lalu.
YB Nik Bahrum menjelaskan, kewujudan peruntukan tersebut mempunyai asas sejarah yang jelas apabila ia merupakan antara tuntutan penting Raja-Raja Melayu semasa rundingan kemerdekaan bagi memastikan agama Islam dan akidah umat Islam terus terpelihara.
Tambahnya, para penggubal Perlembagaan ketika itu menerima bahawa kebebasan beragama perlu diseimbangkan dengan satu mekanisme perlindungan terhadap umat Islam demi menjaga ketenteraman awam, kestabilan masyarakat dan keselamatan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa Perkara 11(4) tidak bermaksud agama-agama lain tidak boleh berkembang di Malaysia kerana penganut pelbagai agama tetap bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing, mengurus institusi keagamaan serta menyampaikan ajaran kepada penganut agama mereka tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.
“Apa yang dibenarkan untuk dikawal atau disekat ialah usaha menyebarkan agama selain Islam kepada orang Islam,” jelasnya.
Menurutnya lagi, atas dasar itu juga banyak negeri telah menggubal Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam selaras dengan kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Beliau berkata, hak untuk menganuti agama merupakan hak yang dilindungi, namun hak untuk menyebarkan agama lain kepada orang Islam bukanlah hak mutlak kerana Perlembagaan sendiri membenarkan aktiviti tersebut dikawal dan disekat melalui undang-undang.
Sehubungan itu, YB Nik Bahrum menggesa masyarakat agar meneliti keseluruhan kandungan Perlembagaan sebelum membuat sebarang tafsiran atau perbahasan mengenai isu kebebasan beragama.
“Perbahasan yang jujur mesti bermula dengan mengakui apa yang sebenarnya tertulis dalam Perlembagaan kerana Perkara 11 bukan sekadar mengandungi jaminan kebebasan beragama, tetapi turut mengandungi Perkara 11(4),” ujarnya.












