Accessibility Tools

Skip to main content

Bandar Sri Mentara Machang pemangkin baharu pembangunan jajahan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 24 Jun – Bandar Sri Mentara Machang berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan Jajahan Machang menerusi pelbagai inisiatif yang merancakkan aktiviti ekonomi setempat sekali gus memperkukuhkan kesejahteraan dan perpaduan masyarakat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, objektif utama penganjuran Program Mache Kito Bersama Komuniti 2026 adalah untuk memperkenalkan Bandar Sri Mentara Machang kepada masyarakat agar segala kemudahan yang tersedia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Menurutnya, bandar tersebut mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu pertumbuhan baharu yang mampu memberi nafas segar kepada pembangunan Jajahan Machang pada masa hadapan.

“Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan Bandar Mentara Machang kepada masyarakat agar bandar ini dapat menjadi pemangkin dan memberi nafas baharu kepada pembangunan Jajahan Machang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mache Kito Bersama Komuniti 2026 di Bandar Sri Mentara Machang, di sini,  pada 19 Jun.

Program anjuran Al-Farhain Medical Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Daerah Machang (MDM) dan Cek Dik Agency itu berjaya menghimpunkan pemimpin tempatan, agensi kerajaan, usahawan serta masyarakat setempat dalam suasana penuh harmoni dan semangat kebersamaan.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor, barisan kepimpinan Majlis Daerah Machang, wakil agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta komuniti setempat.

YB Hilmi juga memaklumkan, program berkenaan bukan sekadar menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat dan pelbagai agensi, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan aspek kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan komuniti.

Menurutnya, pendekatan yang menggabungkan elemen kesihatan, ekonomi, sosial dan kebudayaan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan rakyat yang sihat, aktif dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.

Beliau berkata, tema “Satu Hari, Seribu Manfaat” yang diangkat dalam program tersebut mencerminkan usaha bersepadu pelbagai pihak untuk membawa manfaat yang menyeluruh kepada masyarakat, termasuk dalam aspek pembangunan modal insan dan pengukuhan institusi komuniti.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan bagi menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk acara berjalan santai bertemakan kain sarong, pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah, aktiviti kekeluargaan dan kanak-kanak serta jualan oleh usahawan tempatan.

Program itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan tradisional seperti dikir barat dan wayang kulit yang menjadi antara tarikan utama kepada pengunjung sekali gus membantu memartabatkan warisan seni budaya negeri.

Pada majlis sama, YB Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada warga Machang atas pelbagai pencapaian cemerlang yang berjaya diraih sepanjang tahun 2025 dan 2026.

Menurutnya, Jajahan Machang telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai aspek pembangunan komuniti, kebersihan dan kesejahteraan rakyat apabila dianugerahkan sebagai Jajahan Cemerlang sempena Sambutan Hijratul Rasul.

Selain itu, Majlis Daerah Machang turut dinobatkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik pada Sambutan Hari Kelantanku Bersih, manakala Yang Dipertuanya menerima pengiktirafan sebagai YDP Cemerlang.

Katanya, pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat di jajahan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sehubungan itu, beliau berharap momentum kecemerlangan yang telah dicapai dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada masa hadapan sehingga Machang berjaya dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia.

Pautan berjaya disalin!