Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Nik Bahrum Nik Abdullah


Legislator perlu buat keputusan berasaskan fakta demi kepentingan rakyat

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 24 Jun — Tugas utama seorang legislator ialah meneliti, membahas dan membuat keputusan berasaskan fakta bagi memastikan setiap dasar, undang-undang serta peruntukan yang diluluskan benar-benar menjaga kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, tanggungjawab tersebut sering kurang mendapat perhatian masyarakat kerana kebanyakannya berlaku di dalam dewan dan tidak dapat dilihat secara langsung oleh rakyat.

Menurutnya, ramai melihat peranan wakil rakyat melalui aktiviti turun padang, menghadiri program, menyampaikan bantuan, mendengar aduan serta menziarahi penduduk di kawasan masing-masing.

“Semua itu penting. Namun ada satu lagi bahagian tugas seorang legislator yang jarang kelihatan di mata masyarakat sedangkan kesannya dirasai oleh hampir semua orang. Ia berlaku di dalam dewan,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

YB Nik Bahrum yang juga pengamal undang-undang berkata, peranan legislator bukan sekadar berucap ketika persidangan berlangsung sebaliknya memerlukan penelitian mendalam terhadap pelbagai dokumen sebelum sesuatu isu dibahaskan atau diputuskan.

Katanya, seseorang legislator lazimnya perlu meneliti laporan jabatan, kertas dasar, cadangan projek, laporan kewangan serta dokumen berkaitan rang undang-undang dan pindaan undang-undang yang adakalanya mencecah ratusan muka surat.

“Mereka juga perlu mendapatkan maklumat tambahan daripada jabatan dan agensi berkaitan, menyemak statistik, meneliti implikasi kewangan serta memahami kesan sesuatu cadangan terhadap rakyat dan kerajaan.

“Ini kerana keputusan yang dibuat di dalam dewan bukan perkara kecil,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila kerajaan membentangkan peruntukan pembangunan, legislator perlu memastikan wang awam dibelanjakan secara berkesan dan memberi manfaat optimum kepada rakyat.

Menurutnya lagi, apabila sesuatu rang undang-undang dibentangkan, legislator perlu menilai sama ada dasar itu mampu melindungi hak rakyat, menyelesaikan masalah yang wujud serta boleh dilaksanakan secara adil.

“Apabila sesuatu dasar dicadangkan, mereka perlu melihat kesannya bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga kepada generasi akan datang.

“Sebab itu rakyat tidak menghantar wakil mereka ke dewan untuk bercakap kosong atau sekadar memenuhi kerusi. Mereka menghantar seseorang untuk membawa suara mereka dengan fakta yang tepat, hujah yang kukuh dan pertimbangan yang matang,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, tugas di kawasan tetap penting kerana rakyat memerlukan wakil yang dekat dengan mereka serta memahami keperluan dan cabaran setempat.

Namun katanya, rakyat juga berhak mendapat legislator yang rajin membaca, mengkaji dan bersungguh-sungguh mempertahankan kepentingan mereka ketika keputusan penting sedang dibuat di dalam dewan.

Tambahnya, banyak perkara yang mempengaruhi kehidupan harian rakyat sebenarnya ditentukan melalui proses perbahasan dan keputusan yang dibuat di dewan sebelum dilaksanakan.

“Jalan yang kita lalui, sekolah yang digunakan oleh anak-anak kita, peruntukan yang diterima oleh negeri, dasar yang memberi kesan kepada ekonomi dan kos sara hidup serta undang-undang yang mengawal kehidupan bermasyarakat.
Semua itu akhirnya melalui dewan sebelum dilaksanakan. Kerja itu mungkin tidak selalu kelihatan tetapi kesannya dirasai oleh semua,” katanya.

Pautan berjaya disalin!