WNA Beauty dinobat Tokoh Usahawan Wanita DUN Temangan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 24 Jun – Pengasas WNA Beauty Wan Nur Amirah Wan Alias, 29, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Usahawan Wanita sempena Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) Peringkat DUN Temangan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangannya dalam bidang keusahawanan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, penganugerahan tersebut membuktikan wanita Kelantan mampu mencipta kejayaan dan menjadi contoh kepada masyarakat melalui kesungguhan serta ketekunan dalam bidang yang diceburi.
Menurutnya, kejayaan yang diraih Wan Nur Amirah diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Anugerah ini merupakan penghargaan atas kegigihan, kecekalan dan sumbangan beliau dalam bidang keusahawanan, sekali gus menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk terus maju dan berjaya.
“Semoga beliau terus melahirkan lebih ramai mentee melalui program pembangunan wanita dan ibu-ibu serta membimbing generasi usahawan yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah DUN Temangan, pada Isnin.
Beliau turut mendoakan agar segala usaha yang dilakukan Wan Nur Amirah diberkati Allah SWT serta menjadi asbab manfaat kepada masyarakat.
Sementara itu, Pusat Sumber Sayyidatina Hafsah Kelantan dalam kenyataan medianya memaklumkan, Wan Nur Amirah menerima pengiktirafan tersebut berdasarkan pencapaian cemerlang yang diraih dalam bidang keusahawanan.
Menurut kenyataan itu, antara pencapaian membanggakan beliau ialah merekodkan jualan sebanyak RM650,000 dalam tempoh empat jam siaran langsung di TikTok pada tahun 2025 dan RM500,000 dalam tempoh tiga jam pada tahun 2026.
Beliau juga menerima Anugerah Orang Awam sempena Sambutan Hari Polis Ke-218 pada tahun 2025 serta Anugerah TikTok Shop Malaysia “Top Emerging Seller” pada tahun 2026.
Majlis Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah DUN Temangan yang berlangsung pada 20 Jun lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran sebanyak 313 peserta.
Penganugerahan tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berjaya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.










