Accessibility Tools

Skip to main content

Perawat Islam perlu jadi pendakwah di medan kesihatan ummah

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 24 Jun – Peranan perawat Islam tidak seharusnya terhad kepada merawat penyakit semata-mata,sebaliknya perlu berfungsi sebagai pendakwah yang membimbing masyarakat kembali kepada ajaran Islam dalam usaha membina kesejahteraan ummah secara menyeluruh.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, perawat Islam memikul tanggungjawab yang besar dalam mendidik serta membimbing pesakit agar kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT, di samping membantu menangani pelbagai masalah kehidupan yang dihadapi masyarakat.

Menurutnya, ramai pesakit yang mendapatkan rawatan berdepan masalah kesihatan bahkan turut berhadapan dengan isu pengabaian solat, konflik rumah tangga, tekanan emosi, gangguan jiwa serta terjebak dalam pelbagai bentuk maksiat dan dosa.

“Justeru, tugas perawat bukan hanya membaca ruqyah atau memberi air penawar tetapi mengajak pesakit kembali kepada Allah SWT, membimbing mereka menjaga solat, menghidupkan amalan zikir dan al-Quran serta menanam keyakinan bahawa penyembuh sebenar hanyalah Allah SWT,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kursus Asas Rawatan Patuh Syariah (i-Syifa’) yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, 22 Jun.

Kursus tersebut dianjurkan bagi memperkukuhkan kefahaman serta kompetensi para perawat Islam terhadap amalan rawatan yang sahih, beretika dan mematuhi kehendak syarak selaras dengan peruntukan undang-undang negara.

YB Hilmi turut menjelaskan, Kerajaan Persekutuan telah menggubal Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) sebagai mekanisme kawal selia terhadap bidang perubatan tradisional dan komplementari termasuk Amalan Pengubatan Islam yang diiktiraf secara rasmi.

Menurutnya, akta tersebut mewajibkan para perawat berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari bagi memastikan aspek kompetensi, etika serta keselamatan pesakit sentiasa terpelihara.

“Seorang perawat Islam pada hari ini tidak lagi boleh beroperasi hanya berbekalkan pengalaman semata-mata, sebaliknya perlu memiliki ilmu, latihan, akhlak serta pematuhan terhadap undang-undang yang ditetapkan,” jelasnya.

Menurutnya, usaha memperkasakan bidang rawatan Islam amat penting kerana ia mempunyai peranan yang signifikan dalam pembangunan masyarakat yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

"Negeri Kelantan yang berteraskan Dasar Membangun Bersama Islam sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan insan secara menyeluruh termasuk dalam aspek kesihatan yang berlandaskan syariat Islam.

"Rawatan Islam yang patuh syariah mampu membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan berasaskan Islam selain menjadi pelengkap kepada sistem kesihatan moden melalui pendekatan spiritual dan psikososial yang dibenarkan syarak," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, pendekatan tersebut berpotensi membantu menangani isu kesihatan mental, tekanan emosi dan keruntuhan institusi keluarga melalui kaedah tarbiah serta dakwah yang berkesan.

Pada masa sama, katanya, rawatan Islam yang berlandaskan syariat juga mampu menjadi benteng masyarakat daripada terpengaruh dengan bomoh palsu, amalan sihir dan pelbagai bentuk penyelewengan akidah yang boleh merosakkan pegangan umat Islam.

“Bidang ini juga berupaya melahirkan lebih ramai perawat profesional yang berfungsi sebagai duta dakwah Islam kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kelantan dapat muncul sebagai model negeri yang melahirkan pengamal rawatan Islam yang berdaftar, profesional, berintegriti dan dihormati masyarakat.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) atas penganjuran kursus berkenaan yang disifatkan sebagai satu usaha penting dalam melahirkan perawat Islam yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang rawatan, malah memahami tanggungjawab syarie, mematuhi undang-undang serta melaksanakan amanah dakwah yang dipikul.

Program tersebut turut diisi dengan taklimat mengenai Akta 775 yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Penyelidikan) JHEAIK Ustaz Mohd Fadhli Sulaiman, ceramah bertajuk Ciri-ciri Gangguan Jin oleh Presiden DarusSalam Malaysia Ustaz Abdul Manaf Jusoh serta sesi Bacaan Ruqyah dan Amalan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Sahibus Samahah Dato' Biji Sura Dato' Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan Dr Hasnan Ramli.

Pautan berjaya disalin!