Pengguna puas hati mutu perkhidmatan, kualiti dan kuantiti air AKSB
Oleh Asri Hamat
Kredit foto: Media AKSB
MACHANG, 25 Jun – Pengguna bekalan air di Kampung Bagan Atas, Pulai Chondong berpuas hati dengan mutu perkhidmatan serta kualiti dan kuantiti air bersih yang dibekalkan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Penghulu Mukim Bagan Atas, Pulai Chondong Syed Hussin Syed Bremen, 55, berkata keadaan bekalan air di mukim itu sememangnya pernah berdepan masalah sejak beliau mula bertugas pada 2010 namun usaha penambahbaikan dan penyelesaian sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, setiap rungutan yang diterima daripada penduduk kampung akan diambil tindakan segera oleh pihak AKSB dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat.
Penghulu Mukim Bagan Atas, Pulai Chondong Syed Hussin Syed Bremen, 55
“Orang kampung buat aduan kepada penghulu dan penghulu panjangkan kepada AKSB. Pihak AKSB bertindak secepat mungkin,” katanya ketika ditemui media, pada Selasa.
Menurutnya, hasil kerjasama erat antara AKSB, anak mukim dan penghulu, tindakan pembaikan termasuk membaiki paip rosak dapat dilaksanakan dengan segera, lazimnya dalam tempoh tidak sampai dua atau tiga hari.
“Jadi saya sebagai wakil penduduk setakat ini berpuas hati dengan kelajuan air serta tindakan segera pihak AKSB untuk membaik pulih apa-apa kerosakan.
“Alhamdulillah, terima kasih AKSB,” ujarnya.
Mohd Azwan Ahmad
Sementara itu, seorang pengguna di Kampung Bagan Atas, Mohd Azwan Ahmad berkata, mutu perkhidmatan AKSB setakat ini sangat baik.
Katanya, air yang diterima adalah jernih dengan kualiti yang baik selain mempunyai aliran yang lancar.
Menurutnya, walaupun pernah berlaku masalah bekalan air sebelum ini, tindakan pantas sentiasa diambil oleh pihak AKSB selepas aduan dikemukakan.
“Jika ada aduan yang dibuat, Alhamdulillah AKSB bertindak dengan amat baik dan pantas untuk menyelesaikan masalah seperti paip bocor dan sebagainya.
“Contohnya, apabila kita buat aduan sebelah pagi, sebelah petang pihak AKSB sudah sampai dan menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya amat berpuas hati. Jadi dari segi perkhidmatan, kualiti serta kelajuan air, semuanya terbaik,” katanya.












