Kemelut KAFA dijangka berakhir dalam masa terdekat - Exco Sukan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Zamakhshari
KOTA DARULNAIM, 25 Jun - Kemelut membabitkan hubungan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka menemui penyelesaian dalam masa terdekat.
Demikian menurut Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad.
Menurutnya, perkembangan itu dimaklumkan dalam satu pertemuan dan sesi perbincangan beliau bersama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pembangunan bola sepak di Kelantan, termasuk isu yang melibatkan hubungan antara KAFA dan FAM.
Jelasnya, pihak FAM turut berkongsi perkembangan semasa serta pelan tindakan yang sedang dirangka bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.
“Berdasarkan perbincangan yang berlangsung dalam suasana positif dan konstruktif, saya difahamkan bahawa usaha ke arah penyelesaian sedang berjalan dengan baik dan insya Allah akan menemui noktah dalam masa terdekat,” katanya di media sosial, pada Rabu.
Tambahnya, perkembangan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang positif demi masa depan bola sepak Kelantan.
Kata beliau lagi, perkara yang lebih penting adalah memastikan pembangunan bola sepak negeri terus bergerak ke hadapan, khususnya dalam usaha melahirkan bakat muda, memperkukuh program akar umbi serta mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak yang menjadi kebanggaan rakyat Kelantan.
“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara dan rakan strategik kepada semua pihak demi kepentingan pembangunan sukan serta masa depan generasi muda negeri ini,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Noor Azman Rahman dan pihak FAM atas kesediaan menerima kunjungan serta berkongsi pandangan secara terbuka.
“Semoga segala usaha yang dirancang dipermudahkan dan memberi manfaat kepada seluruh warga bola sepak Kelantan,” katanya.








