Accessibility Tools

Skip to main content

Kuliah mingguan Dato' Tuan Saripudin semarak budaya ilmu di Selising

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Tuan Saripudin

PASIR PUTEH, 25 Jun – Kuliah mingguan yang disampaikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selising YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di Masjid Taman Barakah, Kampung Tasek Pauh, Selising terus menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat setempat serta golongan asatizah.

Menerusi pengajian yang berlangsung secara berkala itu, Dato' Tuan Saripudin meneruskan kuliah tafsir al-Quran yang kini telah memasuki perbincangan Juzuk 15 melibatkan Surah al-Isra' ayat 18 pada 19 Jun lalu.

Menurutnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, sesi kali ini turut menyaksikan permulaan pengajian khusus kitab Idhoh Qawaid Feqhiyyah bersama para asatizah dan ilmuwan muda bagi mendalami kaedah-kaedah fiqh yang menjadi asas penting dalam memahami hukum-hakam Islam.

Katanya, kitab tersebut banyak mengambil manfaat daripada kitab Al-Asybah Wan Nazoir karya Imam al-Suyuti yang membincangkan pelbagai kaedah fiqh yang digunakan dalam proses istinbat hukum.

Beliau turut berkongsi pengalaman mempelajari kitab berkenaan daripada Tuan Guru Haji Hassan Mentuan ketika menuntut di Pondok Moden Kandis suatu ketika dahulu.

"Tuan Guru Haji Hassan turut membantu gurunya, Syeikh Abdullah al-Lahji menyusun kitab ini atas permintaan Mudir Madrasah Soulatiyyah, sebuah institusi pengajian Islam terkenal di Mekah yang melahirkan ramai alim ulama," katanya di laman rasmi, pada Sabtu.

Tambahnya, pengajian khusus kitab tersebut akan diteruskan pada setiap pagi Jumaat sebagai medium memperkukuhkan kefahaman fiqh dalam kalangan asatizah dan ilmuwan muda.

Dato' Tuan Saripudin berharap usaha berterusan dalam menyampaikan ilmu agama itu dapat melahirkan lebih ramai pencinta ilmu serta memperkukuhkan penghayatan masyarakat terhadap ajaran Islam.

"Semoga Allah SWT mengurniakan taufik kepada kita semua untuk terus istiqamah menuntut ilmu dan mengkhatamkan pengajian ini dengan jayanya," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!