250 armalah dari tujuh mukim DUN Kadok terima manfaat sumbangan kerajaan negeri
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 26 Jun – Sebanyak 250 armalah daripada tujuh mukim dalam DUN Kadok menerima sumbangan menerusi Program Penyampaian Sumbangan Armalah DUN Kadok Fasa 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kadok, di sini, pada 17 Jun.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kadok YB Dato’ Azami Mohd Nor berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan golongan armalah sentiasa diberi perhatian dan dibela.
Menurutnya, sumbangan yang disalurkan diharap dapat membantu meringankan beban penerima di samping memberi suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih yakin dan tabah.
“Semoga sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak meringankan beban serta memberi semangat kepada para penerima untuk terus kuat meneruskan kehidupan,” katanya menerusi media sosial.
Program berkenaan melibatkan penerima daripada tujuh mukim dalam DUN Kadok iaitu Mukim Biah, Mukim Buloh Poh, Mukim Tanjong, Mukim Paloh Rambai, Mukim Patek, Mukim Paya Lada dan Mukim Tokkong.
Pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN Kadok dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak dipinggirkan, khususnya armalah yang berdepan pelbagai cabaran dalam meneruskan kehidupan seharian.
Menurutnya, kebajikan rakyat akan terus menjadi antara agenda utama yang diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif dan program kemasyarakatan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.










