Sembilan siswi cipta sejarah graduan pertama Darul Quran MAIK
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media MAIK
KOTA BHARU, 25 Jun - Sembilan pelajar perempuan mencipta sejarah apabila menjadi kumpulan pertama siswi yang berjaya menamatkan pengajian di Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak institusi itu mula menerima kemasukan pelajar perempuan pada 2023.
Mereka adalah sebahagian daripada 32 graduan yang diraikan dalam Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Darul Quran MAIK 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.
Semua graduan terbabit berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun pengajian.
Tengku Temenggong Kelantan yang juga Yang Dipertua MAIK YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pencapaian kumpulan pertama siswi itu membuktikan komitmen MAIK dalam melahirkan lebih ramai huffaz daripada kalangan pelajar lelaki dan perempuan.
Katanya, usaha melahirkan huffaz tidak pernah mengehadkan potensi berdasarkan jantina kerana peluang sentiasa terbuka sama rata kepada semua pelajar yang berkelayakan.
“Kejayaan ini juga tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan pensyarah, ibu bapa dan penjaga yang sentiasa bersama pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Pada majlis sama, beliau turut berkongsi perkembangan terkini Darul Quran MAIK termasuk pelaksanaan Program Pra Tahfiz dan Bahasa Arab yang diperkenalkan pada Januari lalu bagi memperkukuh asas pelajar sebelum mengikuti pengajian diploma.
Dalam usaha memperkasakan penguasaan Bahasa Arab, MAIK meneruskan kerjasama strategik dengan Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor, Indonesia yang bermula pada 2025.
Melalui kerjasama itu, dua pensyarah telah mengikuti kursus intensif Bahasa Arab di universiti berkenaan, manakala tahun ini program diperluaskan dengan penyertaan dua lagi pensyarah serta 20 pelajar.
Kata Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam lagi, Darul Quran MAIK turut memberi tumpuan kepada penawaran program pengajian berkualiti dan berakreditasi yang berfokus kepada bidang tahfiz al-Quran.
Katanya, institusi itu menerima permohonan kemasukan yang tinggi setiap tahun, namun peluang kemasukan terpaksa dihadkan berikutan kekangan kapasiti sedia ada.
“Sehubungan itu, satu pelan tindakan komprehensif sedang dirangka sebagai persediaan untuk menawarkan pelbagai program pengajian berkaitan al-Quran pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Darul Quran MAIK mengambil langkah strategik menjadikan bangunan di atas tanah Lot 11977, Kampung Sungai Pinang, Tumpat yang diwakafkan oleh Haji Md Rashid Mohammad sebagai kampus baharu siswi.
Langkah itu membolehkan kapasiti pelajar perempuan ditingkatkan daripada 30 kepada 60 orang pada satu-satu masa sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada calon wanita mengikuti pendidikan al-Quran dalam suasana lebih tersusun dan kondusif.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya terus memelihara hafazan al-Quran dan menjadikan gelaran al-Hafiz serta al-Hafizah sebagai amanah besar yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Katanya, bidang tahfiz kini berkembang sebagai platform melahirkan generasi al-Quran yang berilmu, berakhlak, berdisiplin serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.












