60 warga Selising terima skim kebajikan kerajaan negeri
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Selising
PASIR PUTEH, 25 Jun – Sebanyak 60 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising menerima manfaat menerusi pelbagai skim kebajikan dan penghargaan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Selising, pada 20 Jun.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Selising YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sumbangan tersebut melibatkan penerima Skim Bantuan One-Off IPT, Manfaat Kifaalah, Skim Gerbang Az-Ziwaaj serta Skim Bantuan Kronik Kerajaan Negeri Kelantan.
Menurutnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, khususnya golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan.
"Alhamdulillah, melalui pelbagai skim yang disediakan Kerajaan Negeri, sebanyak 60 warga DUN Selising menerima manfaat pada hari ini. Bantuan ini bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah menjadi tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat di setiap peringkat," katanya di laman rasmi pada Sabtu.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat daripada dasar dan program kebajikan yang dilaksanakan.
"Kita mahu setiap lapisan masyarakat dapat merasai manfaat pembangunan dan kebajikan yang disediakan kerajaan. Semoga bantuan yang disampaikan ini dapat memberi kelegaan kepada penerima serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat," ujarnya.
Majlis berkenaan dimulakan dengan kuliah dhuha yang disampaikan oleh Dato' Tuan Mohd Saripudin sendiri yang menekankan kepentingan menuntut ilmu serta menghayati nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.












