Accessibility Tools

Skip to main content

Dato' Mohd Amar santuni 250 armalah dalam Himpunan Armalah 2.0

Oleh: Syamimi Manah

PENGKALAN CHEPA, 25 Jun – Ahli Dewan Negeri (ADN) Panchor YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' Mohd Amar Abdullah menyantuni sebanyak 250 armalah dalam Himpunan Armalah 2.0 Peringkat DUN Panchor yang berlangsung di Dewan Tok Ayah Kedah, di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian bantuan kepada lima penerima sosio ekonomi, 15 penerima Skim Bantuan Az-Ziwaaj serta 35 penerima sumbangan pesakit kronik.

Menurut Dato' Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Negeri Kelantan, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara, khususnya golongan yang berdepan cabaran hidup.

“Program ini telah menghimpunkan sebanyak 250 penerima armalah sebagai manifestasi keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Lebih bermakna, majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Armalah kepada Rozita Ibrahim sebagai simbol penghargaan terhadap ketabahan, pengorbanan dan semangat cekal yang dipamerkan sepanjang mengharungi kehidupan.

Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai tanda penghormatan kepada individu yang menjadi inspirasi kepada masyarakat melalui ketabahan dan sumbangan yang ditunjukkan.

Dato' Mohd Amar berkata, usaha menyantuni golongan armalah dan mereka yang memerlukan perlu diteruskan bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir daripada arus pembangunan dan kebajikan masyarakat.

“Semoga himpunan ini bukan sahaja menjadi medan menyantuni golongan armalah, bahkan mengeratkan ukhuwah serta memperkukuhkan agenda kebajikan ummah” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!